Penang, Malaysia Buddy Bears simbol toleransi sejagat

GEORGE TOWN – Patung Malaysia Buddy Bear hasil rekaan anak jati Pulau Pinang, Kenny Lee Ooi Meng, 47, dari Bukit Mertajam baru-baru ini bakal menjelahi dunia bersama-sama 143 United Buddy Bears (UBB) lain.

Manakala, patung Penang Buddy Bear yang juga hasil rekaan beliau akan kekal dipamerkan di negeri ini.

Kedua-dua rekaan tersebut adalah bercirikan kenderaan pengangkutan menarik di Pulau Pinang seperti keretapi Bukit Bendera, feri serta beca dengan berlatarbelakangkan bendera Malaysia dan Pulau Pinang.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, dua patung Buddy Bears tersebut merupakan kebanggaan negeri kerana ia akan bersama-sama yang lain menyebarkan pesanan bermakna kepada seluruh dunia.

“Ia bukan sahaja wakil dari Pulau Pinang, ‘Pulau Mutiara’, malah ia sama-sama akan membawa mesej mempromosikan toleransi, persefahaman, perpaduan dan keamanan dalam kalangan manusia sejagat.

“Bukan itu saja, kita seharusnya tidak berdiskriminasi di antara kaum, agama dan latar belakang kerana kita semua adalah insan sebahagian daripada manusia sejagat yang harus hidup aman damai serta saling toleransi,” ujarnya pada Majlis Pelancaran Malaysia dan Penang UBB di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd Rashid Hasnon dan Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh.

UBB terdiri daripada 143 patung berbentuk beruang setinggi dua meter yang mewakili negara di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Pameran berkaitan diadakan di Padang Kota Lama di sini bermula 31 Ogos lalu hingga 30 Oktober 2016.

if (document.currentScript) {