Exco puji CSR IWK wujudkan program ‘Rakan Sungai’

Admin

TANJONG BUNGA – Daripada 21 batang sungai yang dipantau di Semenanjung Malaysia, Indah Water Konsortium (IWK) Pulau Pinang sendiri melaksanakan kerja-kerja memulihara Sungai Batu Ferringhi dan Sungai Rambai menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dikenali sebagai ‘IWK Friends of Rivers’.

Mengulas lanjut, Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir, Zairil Khir Johari memuji inisiatif IWK dalam mengurangkan tahap pencemaran air Sungai Batu Feringghi di sini.

“Program Rakan Sungai IWK dan program-program lain sepertinya merupakan langkah yang wajar dan sesuai untuk memupuk kesedaran awam bahawa pemuliharaan alam sekitar termasuk menjaga kualiti air sungai adalah merupakan tanggungjawab semua lapisan rakyat di Malaysia.

“Saya dimaklumkan bahawa proses rawatan air sisa yang dijalankan oleh IWK membantu memelihara kesinambungan kitaran air semulajadi yang mana air terawat yang dialirkan semula oleh loji-loji rawatan kumbahan ke perairan seperti sungai dan laut, adalah menepati standard dan piawaian ditetapkan Jabatan Alam Sekitar (JAS),” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Bunga dalam Majlis Pelancaran IWK Friends of Rivers dekat Loji Rawatan Kumbahan Batu Feringghi pada 20 Oktober 2018.

Berucap pada majlis sama, Ketua Operasi Wilayah Utara IWK, Ir. Hussain Omar memberitahu bahawa setakat tahun 2014, hanya 62 daripda 140 lembangan sungai yang dipantau telah dikategorikan bersih, sementara sederhana tercemar (62) dan tercemar (12).

“Dengan menjadikan Sungai Batu Feringghi sebagai rakan sungai IWK, kita berharap rakyat juga dapat menjaga sungai kita, jangan membiarkan najis kumbahan dari premis masing-masing dilepaskan begitu sahaja ke laut atau sungai,” serunya sambil berharap mereka ada tunggakkan kadar caj pembentung peribadi yang tinggi supaya segera membuat pembayaran mudah.

Serentak dengan majlis pelancaran Rakan Sungai IWK, lebih 80 sukarelawan dari IWK Pulau Pinang; Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN); JAS; Hard Rock Hotel Pulau Pinang dan Bayview Beach Resort Penang turut menyertai program menanam pokok jenis Ixora New serta membersihkan muara Singai Ferringhi di sini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar & Video : LAW SUUN TING