Exco puji Kejohanan Sepak Takraw Terbuka Piala ADUN Air Itam terima penyertaan 80 pasukan

Admin
ANTARA yang sempat dirakamkan dalam Kejohanan Sepak Takraw Terbuka Piala ADUN Air Itam di Kampung Melayu di sini pada pagi tadi.

AIR ITAM – Selama dua hari mulai awal pagi ini sejumlah 80 pasukan termasuk dari Sabah akan beraksi bagi merebut kejuaraan dalam Kejohanan Sepak Takraw Terbuka Piala Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang.

SOON Lip Chee (lima dari kiri) bersama-sama pemimpin lain merakamkan gambar selepas dwi acara perasmian berkaitan di sini pada pagi tadi.
SOON Lip Chee

Semasa berucap, Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee berkata kejohanan buat julung kalinya diadakan pada peringkat Kawasan Parlimen Bukit Gelugor itu mencipta sejarah tersendiri kerana dianjurkan serentak dengan majlis perasmian tiga gelanggang sepak takraw baharu yang terletak bersebelahan Padang Suria, Kampung Melayu Air Itam di sini.

Selain itu, Lip Chee yang juga ADUN Bagan Jermal berkata pihaknya berharap dengan adanya kemudahan baharu tersebut dapat mencungkil lebih ramai bakat baru dalam arena sukan negeri dan negara.

“Sukan sepak takraw bukan sahaja terkenal di negeri Pulau Pinang, bahkan salah satu sukan yang menyumbang pingat kepada negara pada peringkat antarabangsa.

“Maka, dengan adanya penganjuran kejohanan terbuka seumpama ini serta kemudahan tiga gelanggang sepak takraw baharu ini, kita (Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang, MSNPP) pada masa hadapan dapat lah mencari bakat-bakat baharu untuk mewakili negeri Pulau Pinang dan mewakili negara Malaysia yang tercinta,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada majlis perasmian acara tersebut di sini pada 4 Jun 2022.

PARA peserta kejohanan mengikuti ucapan perasmian kejohanan di sini tadi.
JOSEPH Ng Soon Siang

Sebelum itu, Soon Siang merakamkan penghargaan kepada pentadbiran Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow terutama pihak Lip Chee sendiri kerana dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan selama hampir dua tahun begitu banyak membantu Pusat Khidmat ADUN Air Itam berhubung usaha menukar guna kawasan tanah lapang di sini menjadi tiga gelanggang sepak takraw.

Di samping itu, beliau berharap semua peserta kejohanan pada kali ini dapat beraksi dalam semangat muhibah dan persahabatan.

“Kalah tak apa, yang penting persahabatan,” seloroh Soon Siang.

GAMBAR bersama-sama barisan penaja utama kejohanan.
RAMKARPAL Singh

Sementara itu, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh pula merakamkan penghargaan kepada gabungan tiga firma pengedar Boon Siew Honda yang telah menyumbang motosikal jenis Honda Wave Alpha 110 CC untuk acara cabutan bertuah sempena kejohanan sepak takraw pada kali ini.

Pengarah MSNPP, Harry Chai Heng Hua dan dua Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Tan Soo Siang dan Lee Wei Seang antara pemimpin Kerajaan Negeri yang turut hadir pada majlis dwi perasmian acara berkenaan.

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB