Exco puji usahawan muda industri buah tin berjaya bayar pinjaman TUT kali pertama

Admin

MACHANG BUBOK – Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin hari ini menyerahkan pinjaman mikro kredit tanpa riba kepada sembilan lagi penerima Tabung Usahawan Tani (TUT).

Ketika berucap, beliau memuji inisiatif usahawan muda industri ladang buah tin, Muhamad Hafizan Abdul Rashid, 32 tahun, kerana berjaya melangsaikan pinjaman kali pertama berjumlah RM6,000 dan kini diberi pinjaman kali yang kedua sejumlah RM10,000.

“Kerajaan Negeri bersedia membantu melalui skim pinjaman mikro kredit TUT ini.

“Dan, daripada skim ini, kita mengharapkan mereka dapat mengembangkan industri mereka supaya dapat menambahkan lagi pendapatan mereka,” jelasnya dalam Majlis Penyampaian Skim Mikro Kredit TUT di Kampung Baru Alma di sini pada 19 Mac 2019.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah, Gooi Hsiao Leung dan Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang, Mohd. Muhaimin Ibrahim.

Dr. Afif memberitahu sehingga hari ini seramai 131 orang penerima yang terdiri daripada pelbagai kategori pertanian, penternakan dan perikanan telah menerima manfaat TUTM.

Mengikut komposisi kaum, katanya, 124 penerima adalah Melayu, diikuti Cina (5) dan India (2).

“Hari ini sembilan usahawan tani akan menerima bantuan dari program ini.

“Setakat ini Kerajaan Negeri telah menyalurkan RM713,000 kepada usahawan-usahawan yang layak dan masih berbaki RM37,000 daripada jumlah keseluruhan peruntukan RM750,000,” jelasnya yang juga ADUN Seberang Jaya.

Sementara itu, Muhamad Hafizan yang ditemui kemudian memberitahu ladang seluas 4,500 kaki persegi di sini diusahakan sejak dua tahun lepas, dan pinjaman mikro kredit TUT kali pertama banyak membantu beliau mengembangkan industri penanam pokok tin serta beberapa anak pokok baka khas lain, untuk tujuan komersial.

“Di ladang ini, selain menuai buah tin, kita juga ada buat proses tut beberapa anak pokok lain, untuk tujuan komersial juga.

“Macam pokok tin ini, ada pelbagai jenis, antara yang ada di padang kami adalah jenis Iraqi.

“Di sini, buah tin dijual segar-segar dalam 15 biji bagi tiap-tiap bungkus, dan dijual RM30 sahaja.

“Anak-anak pokok pun ada dijual mengikut saiz, harga antara RM70 hingga RM120.

“Buat masa ini, pelanggan kita adalah setempat sahaja,” jelasnya sambil berharap industri penanaman buah tin dapat dikembangkan lagi dengan bantuan tabung pinjaman mikro kredit TUT, kendalian Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: NOOR SITI NABILAH NOORAZIS