Exco sahkan Mesyuarat Jawatankuasa Bertindak Nelayan bincang pelan mitigasi PSR

Admin

GEORGE TOWN – Mesyuarat pertama Jawatankuasa Bertindak Nelayan pada 29 Julai 2019 membincangkan pelan mitigasi bagi projek tambakan laut di perairan selatan pulau Pulau Pinang (PSR), serta bentuk tawaran kepada para nelayan dan pihak yang menerima impak berantai dalam projek itu kelak.

Mengulas lanjut, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berkata bahawa dengan penubuhan jawatankuasa tersebut oleh Kerajaan Negeri, ia sekaligus memenuhi hasrat yang disampaikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri dalam pertemuan bersama-sama Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow baru-baru ini.

“Fokus daripada Jawatankuasa Bertindak Nelayan ialah kita mahu satu program bukan hanya pemberian tunai, malah yang lebih penting adalah pemberdayaan nelayan kita yang mana kita dapat memastikan kemapanan nelayan di kawasan perairan itu dapat terus dijalankan.

“Daripada (mesyuarat yang diadakan oleh) Jawatankuasa Bertindak ini, kita telah mendapatkan beberapa maklum balas dan kertas cadangan.

“Dan, sekarang ini, pihak (SRS) Concortium akan mengkaji sebaik-baiknya dan mengemukakan kertas kerja cadangan, yang akan dibentangkan kepada Kerajaan Negeri, sebelum kita boleh tawarkan kepada nelayan serta mereka yang terlibat secara langsung daripada projek PSR ini,” responsnya dalam sidang media bersama-sama Kon Yeow di Komtar pada 1 Ogos 2019.

Hadir sama, hampir semua Exco Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang.

Afif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya memberitahu bahawa beberapa wakil rakyat tempatan antaranya, Azrul Mahathir Aziz (ADUN Bayan Lepas), Zolkifly Md. Lazim (ADUN Teluk Bahang), Sim Tze Tzin (Ahli Parlimen Bayan Baru merangkap Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani) dan Muhammad Bakhtiar Wan Chik (Ahli Parlimen Balik Pulau merangkap Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya) turut sertai mesyuarat Jawatankuasa Bertindak Nelayan tersebut.

Selain itu, Afif menyatakan bahawa mesyuarat Jawatankuasa Bertindak Nelayan turut bersetuju untuk menubuhkan jawatankuasa pemantau untuk program-program mitigasi yang dirancang bersama.

“Pada masa sama, Jawatankuasa Bertindak Nelayan memutuskan untuk mewujudkan satu jawatankuasa kecil iaitu jawatankuasa pemantau pada pelaksanaan program-program dan apa jua bentuk usaha mitigasi yang ingin dirancang serta dilaksana oleh Jawatankuasa Bertindak Nelayan dan juga Kerajaan Negeri Pulau Pinang,” jelasnya.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS

Video : DARWINA MOHD. DAUD