Exco sambut baik hasrat KPKT mahu laksana program kitar semula & asing sisa di skim PPR seluruh negara

Admin

GEORGE TOWN – Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo menyambut baik hasrat disuarakan Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Mohammad Mantek untuk melaksanakan program kitar semula dan pengasingan sisa di 20 skim Projek Perumahan Rakyat (PPR) seluruh negara.

Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap laporan akhbar berbahasa Inggeris hari ini, ‘20 PPR to receive recycling and waste management programmes’.

Menurut Jagdeep, Pulau Pinang telah mendahului dalam program kitar semula dan pengasingan sisa di punca.

“Malah, kita (Kerajaan Negeri) turut memperkenalkan enakmen berkaitan yang mana program ini (pengasingan sisa di punca) adalah mandatori untuk semua skim perumahan di Pulau Pinang, bukan sahaja unit PPR.

“Di bawah enakmen tersebut juga, kompaun akan dikenakan kepada mereka yang gagal mematuhi ia, dan sejak diperkenalkan (tahun 2017) sudah ada badan pengurusan bersama (JMB) serta badan pengurusan (MC) yang dikenakan kompaun kerana tidak mematuhi pelaksanaan berkaitan,” ujarnya sejurus hadir merasmikan suatu majlis sambutan Deepavali dekat Kompleks Masyarakat Penyayang di sini tadi.

JAGDEEP Singh Deo.

 

Jelas Jagdeep, beliau gembira apabila pihak kementerian (KPKT) ingin melaksanakan inisiatif di seluruh negara membabitkan skim PPR.

“Saya juga difahamkan bahawa melalui program tersebut, pihak kementerian akan menyediakan pusat pengurusan sisa dilengkapi mesin kompos.

“(Dan) suka saya nyatakan bahawa Pulau Pinang bersedia untuk program tersebut termasuk pemasangan mesin kompos di negeri ini sekiranya pihak Kementerian ingin melaksanakannya kelak.

“Saya juga akan menghubungi Menteri berkaitan untuk menyatakan hasrat ini, dan berharap ia bukan hanya dilaksanakan di skim PPR tetapi juga semua perumahan awam seluruh negara,” katanya yang memuji inisiatif KPKT itu.

Dalam pada itu, Jagdeep turut berharap pihak kementerian (KPKT) dapat melihat cara terbaik dalam mendidik masyarakat supaya sama-sama menjayakan inisiatif pengasingan sisa dan kitar semula berkenaan.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN