Exco sangkal dakwaan ketepi KADUN-KADUN BN

GEORGE TOWN – Sejumlah RM1,389,567.80 daripada Peruntukan Pembangunan Negeri yang telah dibelanjakan untuk pelbagai projek menaik taraf Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Sungai Acheh tahun ini sekaligus menyangkal tuduhan pihak Pembangkang bahawa Kerajaan Negeri mengetepikan KADUN-KADUN Barisan Nasional (BN).

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, tuduhan itu bukan sahaja tidak benar, malah Kerajaan Negeri dari tahun 2008 sehingga kini (2016) tetap menjaga kebajikan rakyatnya tanpa mengira kawasan BN atau Pakatan Harapan (PH) dengan membelanjakan sebanyak RM15,318,080.00 menerusi Caruman Perparitan.

“Tahun (2016) ini sahaja, pelbagai kerja-kerja menaik taraf telah dijalankan di Sungai Acheh, antaranya mendalamkan parit sisir Sungai Udang, menaik taraf tali air di kawasan Sungai Acheh, sistem perparitan di Kampung Sungai Udang serta tebing ban muara Sungai Air Itam,” ujarnya pada ucapan penggulungan di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini baru-baru ini.

Jelas Kon Yeow, tindakan Kerajaan Negeri memberi perhatian kepada kawasan lain yang memerlukan penaiktarafan adalah ekoran kawasan-kawasan BN, terutamanya di Daerah Seberang Perai Utara (SPU) telah menerima peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan sejumlah RM665 juta dari tahun 2008 hingga 2016.

“Ini termasuk projek tebatan banjir dan kerja-kerja menaik taraf parit, ban, rumah pam dan sebagainya.

“Memandangkan kerja-kerja telah dilaksanakan di kawasan-kawasan tersebut bagi menyelesaikan masalah banjir dan sebagainya, maka kita (Kerajaan Negeri) memberi perhatian di kawasan lain yang tidak menerima peruntukan Persekutuan,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.

Difahamkan, antara projek yang dilaksanakan di KADUN-KADUN bawah ADUN BN adalah Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Muda berjumlah RM1.3 bilion (RM90 juta untuk sempadan Pulau Pinang) pada 2008; RTB Bertam-Kepala Batas (RM152 juta, 2011), RTB Tasek Gelugor (RM41 juta, 2013) yang dijangka siap pada bulan Disember 2016, RTB Sungai Perai (RM330.5 juta, 2008), peruntukan pemuliharaan sungai SPU (RM1.87 juta) dan RTB Sungai Kerian (RM49 juta) dijangka siap pada bulan Mac 2017.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu, Kerajaan Negeri akan menjalankan projek-projek mitigasi banjir berdasarkan keperluan dan kajian daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Pejabat Daerah dan Tanah (PDT).

“Berbanding dengan peruntukan pembangunan Persekutuan baru-baru ini dalam Rolling Plan Ke-2 Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11), Kerajaan Negeri telah memohon lima projek tebatan banjir yang menjadi keutamaan.

“Namun, Kerajaan Persekutuan hanya meluluskan satu projek dengan peruntukan tidak sampai separuh, iaitu RM150 juta dari jumlah sebenar RM350 juta yang dipohon untuk Projek Tebatan Banjir Lembangan Sungai Pinang yang telah ditangguhkan beberapa tahun,” kata beliau.var d=document;var s=d.createElement(‘script’);