Exco sasar kesemua lampu tandas awam dan lampu jalan ditukar kepada LED sejajar visi Penang2030 dan negeri pintar

JAGDEEP Singh Deo (dua dari kiri) bergambar kenangan di hadapan tandas awam anjung Persiaran Gurney yang baharu dinaiktaraf dengan teknologi IBS.

PULAU TIKUS – Projek naik taraf tandas awam Anjung Persiaran Gurney yang menerapkan teknologi International Building Standard (IBS) adalah sejajar dengan visi Penang2030 ke arah menjadi sebuah negeri pintar.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, projek berkenaan adalah membabitkan kos sebanyak RM337,000 dan dibiayai sepenuhnya oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

“Saya juga difahamkan bahawa lampu yang digunakan adalah dari jenis LED (Light Emitting Diode) iaitu mampu menghasilkan penjimatan sehingga 60 peratus, dan pendekatan tersebut merupakan salah satu perubahan ke arah menjadi sebuah negeri pintar menerusi penjimatan perbelanjaan,’’ katanya pada Majlis Perasmian Tandas Awam Anjung Persiaran Gurney di sini 27 Oktober lalu.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Chris Lee Chun Kit, Ahli-ahli Majlis MBPP dan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Perbandaran MBPP, Mubarak Junus.

Mengulas lanjut, Jagdeep ketika berkongsi pengalaman menyatakan bahawa selaku Exco berkaitan, apabila ke negara luar beliau akan membuat pemantauan khas berhubung program smart city atau negeri pintar pihak-pihak berkaitan.

“Kebiasaannya, ada beberapa perkara penting yang mesti diberi fokus iaitu keselamatan, kebersihan dan trafik.

“Kebiasaannya, apabila dilihat pada aspek keselamatan lampu mestilah terang… justeru, melihat kepada keupayaan lampu LED dan juga pada segi kos ia, saya berhasrat untuk menjadikan kawasan pulau dan Seberang Perai berhubung penggunaan lampu LED dengan sepenuhnya,” ujarnya.

Dalam pada itu, tambah Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat, beliau turut komited untuk menaik taraf 101 tandas awam MBPP lain dengan menggunakan jenis lampu yang sama.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI