Exco seru ibu bapa kekal waspada perangi gejala HFMD

Admin

GEORGE TOWN – Setakat minggu epidemiologi (ME) 36 yang bermula dari 1 Januari sehingga 9 September 2023, sebanyak 5,335 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) telah dilaporkan di negeri ini.

Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen turut memaklumkan bahawa majoriti kes HFMD kerap berlaku dalam kalangan kanak-kanak berumur 6 tahun ke bawah.

“Walaupun terdapat penurunan sebanyak 15 peratus berbanding tahun sebelumnya, namun dengan pembukaan semula sekolah pada minggu ini cenderung meningkatkan risiko penyakit berkaitan.

“Justeru, diharapkan semua ibu bapa serta pihak-pihak yang berkepentingan untuk turut sama menjaga dan menghindari gejala penyakit tersebut serta lebih berwaspada dengan keadaan sekeliling terutamanya di tempat awam,” ujar Zi Sen semasa sesi sidang media dekat Komtar sebentar tadi.

CARTA perbandingan kumulatif kes HFMD bagi tahun 2022 & 2023 mengikut daerah.

Buletin Mutiara difahamkan, daerah Timur Laut telah mencatatkan kes tertinggi iaitu sebanyak 1,507 kes, manakala Barat Daya (1,214), Seberang Perai Tengah (1,062), Seberang Perai Utara (800) serta Seberang Perai Selatan (752).

Hadir sama, Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim.

Mengulas lanjut, Zi Sen turut menyeru masyarakat agar mengamalkan gaya hidup yang bersih dan selamat agar terhindar dari penyakit berjangkit ini.

“Umum mengetahui, gejala atau simptom boleh mengakibatkan kanak-kanak mengalami demam, luka di mulut (ulcer), serta ruam pada tangan dan kaki.

“Akan tetapi, ibu bapa jangan menyangka HFMD ini seperti virus COVID-19 kerana setakat ini tiada lagi kes HFMD yang dilaporkan dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan juga rekod kematian, ibu bapa boleh mengambil alternatif mengkuarantin anak mereka jika terdapat simptom gejala HFMD,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang.

Pada sesi yang sama, Siew Khim turut menggesa pengusaha pusat kanak-kanak, seperti taska, tadika dan prasekolah untuk segera melaporkan sebarang kes HFMD kepada Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP).

“Kawasan berkaitan amat berisiko dan boleh menyebabkan berlakunya jangkitan sesama (kanak-kanak), oleh itu diharapkan pihak berkenaan mengambil langkah proaktif untuk mencegah HFMD dari merebak.

“Saya amat menggalakkan pengusaha penjagaan kanak-kanak untuk mendaftar dengan Kerajaan Negeri bagi mendapatkan sokongan dan pemerhatian dari agensi kerajaan dalam memastikan kebersihan, keselamatan, standard pendidikan dipatuhi, serta mengurangkan risiko penularan penyakit,” serunya lagi.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : AMMAR MIKHAIL AAMER