Exco seru KADUN perbanyak Taman Komuniti berkonsep ‘Upcycle’

Admin

SUNGAI PUYU – Taman Selayang Oren dekat Sungai Puyu kini didekorasi semula dengan dengan barang-barang boleh guna (upcycle) untuk dikunjungi orang awam.

Mengulas lanjut, Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh memberitahu taman komuniti berkonsepkan 3R atau Reduce,Reuse & Recycle itu adalah yang kedua selepas Upcycle Park dekat Kompleks Ibu Pejabat Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dekat Seberang Jaya.

Justeru, beliau berharap lebih banyak taman berkonsepkan Upcycle boleh diwujudkan di Kawasan-kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) lain di negeri ini.

“Saya ingin menyeru kepada KADUN lain supaya mencontohi projek Taman Komuniti 3R seperti ini yang sememangnya banyak memberi manfaat kepada komuniti setempat dalam meningkatkan kelestarian alam sekitar dengan mengurangkan penghasilan sampah serta memaksimumkan penggunaan tanah lapang.

“Melalui projek ini juga saya nak tambah lagi dua R iaitu Rethink dan Reinvention di mana sebelum kita buang sesuatu sebagai sampah kita fikir semula… dan Reinvention pula kita mampu mengubah barang tersebut kepada produk-produk baharu yang mampu memberikan manfaat seperti yang kita lihat pada hari ini,” ujar beliau ketika berucap pada Majlis Perasmian Taman Komuniti 3R Sempena Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia dan Hari Landskap Negara Peringkat Negeri Pulau Pinang di Taman Selayang Oren pagi tadi.

Hadir sama, Setiausaha Perbandaran bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Ir. Rosnani Mahmod; Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang, Idris Abdul Rahim dan para peserta bengkel 3R.

Rosnani ketika berucap menyatakan pihaknya kini dalam perancangan memperluaskan konsep taman tersebut ke Seberang Perai Selatan (SPS) pada tahun hadapan.

“Di Seberang Perai Tengah (SPT) adalah yang pertama kita siapkan tahun lepas iaitu bersebelahan ibu pejabat MPSP… hari ini kita buat di Seberang Perai Utara (SPU) dan kita jangkakan SPS kita akan buat pada tahun hadapan.

“Selain sebagai taman rekreasi saya nampak taman ini juga boleh ditingkatkan fungsinya sebagai pusat kegiatan integrasi masyarakat bahkan kenduri-kendara dan keramaian juga boleh dibuat di sini,” jelasnya lagi.

Difahamkan kira-kira 30 orang dari pelbagai jawatan hadir ke bengkel khas 3R yang diadakan dari 14 hingga 16 November lalu dalam menyiapkan Taman Komuniti 3R tersebut yang dihiasi dengan hiasan menarik menggunakan barangan terbuang.

Teks & Gambar: WATAWA NATAF ZULKIFLI