Tranquilizer gun cara tangkap anjing liar berperikemanusiaan

Oleh: CHEAH JAY LOON

GEORGE TOWN – Bagi mencapai matlamat Polisi Tidak Membunuh (No Kill Policy) terhadap anjing-anjing liar di sini, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) bakal melaksanakan kaedah penggunaan tranquilizer gun.

Pengerusi Jawatankuasa Kumpulan Kecil Penangkapan Anjing Liar MPPP, S. Sukumar berkata, kaedah tersebut digunakan bagi memastikan cara penangkapan anjing liar serta terbiar adalah berperikemanusiaan.

“Ia hanya akan digunakan di lokasi lapang serta pantai supaya keselamatan masyarakat awam terjamin.

“Pistol yang digunakan adalah Standard Tranquilizer Rifle Unit 11m Bore Barrel iaitu lebih mesra pengguna.

“Sehingga kini, hanya dua individu telah menerima latihan serta layak menggunakan peralatan tersebut sebagaimana diluluskan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan Kerajaan Negeri,’’ katanya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Menurut Sukumar, MPPP bakal melancarkan Polisi Tidak Membunuh bagi menjamin tiada anjing liar dibunuh sesuka hati selain yang didapati ada penyakit atau (penyakit) mental.

Tambahnya, mengikut Undang- undang Kecil (Anjing-anjing) MPPP 1977, lesen anjing adalah diwajibkan kepada pemilik sebagai kawalan terhadap aktiviti berjangkit.

“Mana-mana pemilik yang gagal mendapatkan lesen anjing boleh dikenakan kompaun sebanyak RM100 dan (pemilik) juga boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua- duanya.

“Kami akan mengambil tindakan terhadap pemilik-pemilik anjing yang tidak memiliki atau membuat permohonan lesen anjing selepas 1 Oktober ini,” jelasnya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam MPPP, Ong Ah Teong memberitahu, bangunan Bahagian Kesihatan Awam bernilai RM8.2 juta terdiri daripada kandang- kandang haiwan dan ruang pejabat bakal dibina MPPP.

“Bangunan ini adalah bagi menyediakan perkhidmatan untuk menguruskan semua masalah berkaitan haiwan liar dan terbiar dengan lebih berkesan serta efektif mengikut aspek disarankan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia.

“Sebanyak 20 unit kandang anjing termasuk dua kandang anjing berpenyakit, aktiviti pemandulan anjing (1), persediaan dan rawatan anjing (1), aktiviti perlesenan anjing (1) bakal diwujudkan,’’ ujarnya.

Tambahnya, risalah berhubung tatacara perlesenan anjing akan diedarkan kepada orang awam untuk memaklum dan memberi maklumat pendidikan tentang kepentingan berkaitan.

Bagi maklumat lanjut, sila hubungi, Unit Veterinar MPPP pada talian, 04 – 281 2396/04 – 281 0850 atau emel, wanmohamad@mppp. gov.my.