Exco sumbang kurma, hargai jasa polis

 

GEORGE TOWN – Sempena bulan Ramadan tahun ini, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo, menyampaikan sumbangan berupakan buah kurma kepada semua pegawai dan anggota di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang dekat Jalan Penang di sini.

 

Jagdeep ketika ditemui berkata, sumbangan tersebut adalah sebagai penghargaan terhadap jasa bakti dan pengorbanan pihak polis terutamanya pada bulan Ramadan.

 

Sumbangan ini bukan sahaja sebagai penghargaan tetapi juga untuk memberi semangat kepada semua petugas barisan hadapan termasuk daripada Polis Diraja Malaysia yang masih bertugas di lapangan walaupun dalam bulan Ramadan ini.

 

“Terima kasih juga kepada semua petugas dan wira-wira barisan hadapan yang sentiasa memastikan pematuhan SOP (prosedur operasi standard) kesihatan dan keselamatan di negeri ini,” ujarnya pada sidang media yang diadakan pada 15 April 2022.

 

Hadir sama, Ketua Polis Negeri, Dato’ Mohd. Shuhaily Mohd. Zain; Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong; Ketua Jabatan Pengurusan IPK Pulau Pinang, Asisten Komisioner Muhamad Halim Yatim serta pegawai dan anggota lain-lain pangkat.

 

JAGDEEP Singh Deo (depan, dua dari kanan) menyerahkan sumbangan buah kurma kepada Mohd. Shuhaily Mohd. Zain (depan, dua dari kiri) dengan ditemani ACP Soffian Santong (depan, kiri sekali) dan ACP Muhamad Halim Yatim (depan, kanan sekali).

Dalam sidang media sama, Jagdeep turut menyatakan harapan untuk mengadakan majlis berbuka puasa dan sambutan hari raya Aidilfitri bersama-sama pegawai dan anggota polis sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan.

 

Saya juga berdoa agar semua petugas barisan hadapan kita sentiasa berada dalam keadaan sihat dan selamat selalu.

 

“Saya amat berbangga dengan semua anggota keselamatan…terima kasih,” zahir Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datok Keramat.

 

Sementara itu, Mohd. Shuhaily menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Jagdeep atas sumbangan buah kurma kepada anak-anak buahnya.

 

“(Sumbangan) ini merupakan suntikan semangat kepada semua anggota kami untuk terus berkhidmat dalam segala sudut dan bukan hanya berkaitan COVID-19 tetapi demi kesejahteraan Pulau Pinang.

 

“Dalam menyuntik semangat anak-anak buah, semua Ketua Polis Daerah juga akan meraikan hari raya pertama bersama sebagai pengiktirafan atas pengorbanan mereka, tanpa mereka kami tidak mampu capai yang kami lakukan,” katanya.

 

Jelasnya lagi, selain bekerjasama dengan pihak Kerajaan Negeri, pihaknya yang turut menjalinkan hubungan akrab bersama-sama pihak berkuasa tempatan di negeri ini dalam memastikan kesejahteraan masyarakat.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN