Exco terima memorandum, desak cegah judi atas talian di kafe siber

GEORGE TOWN – Garis panduan operasi pusat hiburan di negeri ini akan diperketatkan demi menangani aktiviti-aktiviti seperti perjudian haram atas talian di kafe siber, mencegah gejala membabitkan remaja serta pelajar sekolah.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tembatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata demikian selepas menerima memorandum berwajib daripada gabungan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) dari Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Machang Bubuk.

“Kita (Kerajaan Negeri) tahu, pengusahapengusaha pusat hiburan ini ada yang mengambil kesempatan dengan memasukkan unsur-unsur perjudian atas talian, melalui internet di kafe siber.

“Kalaulah premis-premis ini didapati menimbulkan masalah seperti diutarakan, kita (Kerajaan Negeri) akan menerima baik cadangan ini untuk melihat garis panduan (ini) diperketatkan.

“(Ini,) termasuk langkah-langkah membekukan lesen-lesen premis baru, dengan zon-zon tertentu sahaja boleh kemukakan lesen-lesen (premis hiburan),” tegasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini.

ADUN Batu Maung merangkap Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim dan Lee Khai Loon (ADUN Machang Bubuk) turut sertai majlis tersebut.

Memorandum itu antara lain mendesak Kerajaan Negeri menghentikan atau membekukan pengeluaran dan pembaharuan lesen baharu sedia ada.

Pada masa sama, ia (memorandum) turut menggesa operasi penguatkuasaan bersepadu membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk memerangi aktiviti judi atas talian di pusatpusat hiburan di negeri ini, khususnya di KADUN Machang Bubuk.

}