Moko pisang, KN peruntuk RM100,000 bantu petani

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri memperuntukkan RM100,000 bagi tujuan pengawalan penyakit layu bakteria pisang atau penyakit moko yang menyerang tanaman pisang para petani negeri ini.

Menurut Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin, bakteria dikenali Ralstonia Solanacearum tersebut menular melalui peralatan ladang yang tercemar atau sistem saliran tidak baik.

“Peruntukan sebanyak RM60,000 bagi petani Daerah Barat Daya dan RM40,000 (Seberang Perai Utara, SPU) adalah sebagai permulaan.

“Di Daerah Barat Daya, peruntukan ini digunakan termasuk untuk kerja-kerja pemusnahan pokok pisang, kos pembelian peralatan serta bahan dan kos upah lima petak pemerhatian bagi kawalan penyakit layu bakteria.

“Selain itu, Program Perintis Pemulihan Tanaman Pisang diteruskan dengan menggantikan pokok pisang dengan tanaman kelapa pandan. Sekiranya program percubaan ini berjaya, ia (kaedah ini) akan diperluas ke kawasan-kawasan yang dijangkiti bagi membolehkan para petani menjalankan tanaman hiliran sepanjang tempoh kuarantin,” katanya pada sesi penggulungan Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Ketiga Belas di sini baru-baru ini.

Hujah beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya adalah bagi menjawab soalan dikemukakan ADUN Pulau Betong, Sr. Muhamad Farid Saad.

Mengulas lanjut, Afif memberitahu bahawa pada Mac lalu, sebuah laporan mengenai Tindakan Kawalan Penyakit Moko Pisang termasuk usaha memusnahkan tanaman serta kuarantin kawasan telah dimaklumkan kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Pada masa sama, Kerajaan Negeri juga memohon bantuan Persekutuan untuk membangunkan semula kawasan-kawasan yang terjejas dan memberi sedikit pampasan kepada petani terlibat, namun sehingga kini, tiada sebarang maklum balas positif diterima,” ujar beliau.

}