Exco umum lulus RM19,630 bina semula tembok bata Taman Soon Boon Kee

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang meluluskan RM19,630 untuk pembinaan semula tembok bata kawasan kediaman Taman Soon Boon Kee yang dimohon oleh penduduk setempat, manakala badan pengurusan bersama (JMB) bersetuju membiayai baki 60 peratus kos projek tersebut berjumlah RM29,445.

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata, peruntukan yang diluluskan di bawah Tabung Penyelenggaraan Maksimum 80% Pulau Pinang (TPM80PP) tersebut adalah kali kedua, selepas Kerajaan Negeri dalam kiraan nisbah 80:20 meluluskan dana RM50,000 pada tahun 2014 untuk membaik pulih sistem lif satu blok kediaman rumah pangsa di sini.

“Tidak semestinya semua permohonan di bawah TPM80PP akan mendapat kelulusan peruntukan maksimum 80 peratus, melainkan benar-benar kritikal sahaja.

“Seperti dalam projek (membina semula tembok bata) di kawasan kediaman ini, atas risiko boleh runtuh dan membahayakan penduduk di sini, kita (Kerajaan Negeri) meluluskan 40 peratus sahaja daripada keseluruhan kos projek sebanyak RM49,075,” jelasnya dalam sidang media bersama-sama Pengerusi JMB Blok 33 Taman Soon Boon Kee, P. Kumarasamy, 53, di sini baru-baru ini.

Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat memberitahu, sehingga kini, 20 permohonan TPM80PP bernilai RM2,681,379.88 telahpun diluluskan, manakala baki 13 projek serupa bernilai kira-kira RM3,800,391.80 masih dalam pertimbangan Kerajaan Negeri.

“Bajet TPM80PP untuk tahun ini hanya RM2.8 juta, selain tambahan RM1 juta lagi daripada HAPPY! (Tabung Bantuan Perumahan Pulau Pinang), menjadikan keseluruhan peruntukan saya bagi tujuan penyelenggaraan serta membaik pulih rumah pangsa yang layak adalah sebanyak RM3.8 juta.

“Jumlah sebesar (RM3.8 juta) ini sebenarnya masih tidak mencukupi untuk membiayai projek-projek yang diterima sehingga Jun 2017.

“(Keseluruhan dana TPM80PP yang diperlukan sebanyak) RM6,481,771.68 sahaja, dan kita (Kerajaan Negeri) masih mempunyai enam bulan untuk memenuhi keperluan permohonan TPM80PP untuk tahun ini,” katanya sambil memberitahu bahawa pihaknya menulis surat rasmi memohon peruntukan tambahan TPM80PP kepada Ketua Menteri dalam tempoh terdekat.

Dalam perkembangan lain, Jagdeep sekali lagi mendakwa bahawa Kerajaan Persekutuan seakan-akan tiada dana memandangkan peruntukan Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia (TP1M) bagi tahun 2016 didedah menyusut sebanyak 92.5 peratus menjadi RM3.98 juta berbanding tahun sebelumnya.

Menurut beliau, sejumlah RM32.82 juta diperuntukan ketika pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya memperkenalkan skim TP1M pada tahun 2013, diikuti, RM46.49 juta (2014), RM50.73 juta (2015) dan menjunam 92.5 peratus menjadi RM3.98 juta pada tahun 2016.

“Adakah Kerajaan Pusat sudah tidak ada duit, sekurang-kurangnya salurkan peruntukan dana TP1M ke negeri-negeri yang dikuasai Umno Barisan Nasional (seperti) Kedah, Kelantan, Perlis, Sarawak, Terengganu, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Wilayah Persekutuan Labuan, jika terus mahu menganaktirikan Pulau Pinang,” tegas beliau.