Pelaburan RM1 bilion Hotayi ke Batu Kawan, sedia kira-kira 1,000 peluang pekerjaan

Admin

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

BUKIT TAMBUN – RM1 bilion pelaburan lanjutan Hotayi, syarikat semi-konduktor dari Taipei, Taiwan di Taman Perindustrian Batu Kawan bukan sahaja memberi manfaat kepada Pulau Pinang, malah buat Malaysia jua.

Justeru, Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng merakamkan penghargaan kepada Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) kerana bertungkus-lumus membawa pelaburan langsung asing (FDI) ke negeri ini.

“Bukan selalu pelaburan sebanyak RM1 bilion ke Pulau Pinang, terutama dari Taiwan, tentunya pembukaan industri Hotayi ini akan menyediakan kira-kira 1,000 lagi peluang pekerjaan, ketika Kerajaan Negeri hari ini sedang meneroka Revolusi Perindustrian 4.0.

“Ini bukan sahaja bagus untuk Pulau Pinang, malah untuk Malaysia juga,” katanya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam dalam Majlis Pecah Tanah Industri Hotayi Electronic (M) Sdn. Bhd. dekat Simpang Empat di sini baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Hotayi Malaysia, Datuk Lee Hung Lung; wakil Pejabat Ekonomi dan Kebudayaan Taipei ke Malaysia, James Chang Chi Ping dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Phang Ah Tong turut berucap pada majlis tersebut.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Dato’ Law Choo Kiang yang juga Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang; ADUN Jawi, Soon Lip Chee; Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani; Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Dato’ Rosli Jaafar; Pengurus Besar investPenang, Loo Lee Lian dan Pengarah MIDA Pulau Pinang, Azhana Mohd. Saleh.

“Bukan sahaja dikagumi dengan pelaburan lanjutan sejumlah RM1 bilion, malah mereka (Hotayi) memberitahu bahawa hasil jualan keseluruhan turut meningkat berganda-ganda. Sebelum itu, Ah Tong memberitahu, Kerajaan Malaysia giat mempromosikan tiga sektor utama termasuk elektrik & elektronik (E&E) di tanah air ini, seperti di Pulau Pinang.

“Tiga sektor yang Kerajaan Malaysia begitu agresif mempromosi termasuk di Pulau Pinang adalah salah satunya sektor E & E yang merupakan tulang belakang kepada ekonomi Malaysia, yang menyumbang 36.6 peratus daripada keseluruhan kira-kira 44.6 peratus keseluruhan eksport pembuatan,” ujarnya.

Manakala, menurut Hung Lung, Hotayi membuat pelaburan lanjut RM1 bilion kerana yakin dengan perspektif pelaburan dan ekonomi di Pulau Pinang, yang kian meningkat.

“Pada hari ini, Hotayi sekali lagi membuat batu loncatan yang besar selepas 25 tahun, kita mara ke arah industri pintar 4.0,” jelasnya.

Chi Ping menyatakan bahawa pelaburan Taipei ke Malaysia ketika ini kira-kira 12 bilion Dolar Amerika Syarikat.

“Bagi kami, Malaysia adalah salah satu negara rakan baharu untuk pelaburan lanjutan masa depan dari Taiwan,” jelas beliau.