FAMA anjur Agrofiesta Aidilfitri di 1st Avenue, Sunway Carnival sehingga 21 April

Admin
PERABOT gerbang yang menghiasi pintu masuk Agrofiesta Aidilfitri 2023 di aras bawah pusat membeli-belah 1st Avenue, George Town di sini.

AGROFIESTA Aidilfitri yang dianjurkan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di aras bawah pusat membeli-belah 1st Avenue dekat George Town dibuka sejak 24 Mac lepas sehingga 21 April 2023.

Pakaian moden Waiz Fashion Store, Cdella (biskut raya), Deeia (biskut raya dan pakaian), Aznan Le Craft House (kraftangan), Makmur Bakery (biskut raya), Aina Sari (pes masakan), Annissa72 Enterprise (biskut raya), Mak Ton Resourses (tudung dan kerepek) dan Jijahgheboo Venture (kosmetik viral) merupakan antara jenama produk yang menyertai siri ketiga bazar Ramadan pada kali ini di sini.

ANTARA produk usahawan di bawah bimbingan FAMA yang terdapat di salah sebuah gerai pameran Agrofiesta Aidilfitri 2023 di aras bawah 1st Avenue.

Selepas itu, wartawan Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB dan jurugambar, DARWINA MOHD. DAUD cuba mendapatkan maklum balas lanjut daripada pihak penganjur berhubung konsep serta sambutan pengunjung pada Agrofiesta Aidilfitri 2023 di sini.

Timbalan Pengarah FAMA Negeri Pulau Pinang, MOHD. JUNAIDI RAZIQIN dalam wawancara di pejabat agensi persekutuan tersebut dekat Perai pada petang tadi memberitahu bahawa sebanyak 23 gerai pemasaran dibuka sempena Agrofiesta Aidilfitri 2023 di 1st Avenue Mall.

MOHD. JUNAIDI Raziqin

Menurutnya lagi, selain di 1st Avenue Mall, FAMA negeri turut membuka Agrofiesta Aidilfitri 2023 di pusat membeli-belah Sunway Carnival Mall dekat Seberang Jaya mulai 27 Mac hingga 21 April depan.

“Dinamakan sebagai Agrofiesta Aidilfitri, program ini bukan pertama kali dianjurkan oleh FAMA negeri Pulau Pinang dengan rakan strategik di kedua-dua pusat membeli belah tersebut (1st Avenue dan Sunway Carnival).

“Maknanya setiap tahun menjelang Aidilfitri, kita (FAMA) menganjurkan program ini.

“Matlamat penganjuran Agrofiesta Aidilfitri adalah kita (FAMA) kita mahu memperkenalkan produk-produk usahawan yang pernah mendapatkan bimbingan kita, kepada para pengunjung pusat membeli-belah.

“Apabila tumpuan FAMA pada usaha mempromosi produk-produk keusahawanan, kebanyakannya adalah berasaskan pada biskut (cookies) dan juga barangan berkaitan dengan persiapan menyambut Aidilfitri.

“Kebanyakan produk mereka ini adalah bermusim, apabila bersifat bermusim, kita boleh nampak hasil jualan kasar mereka semasa musim perayaan meningkat berkali ganda dan kembali seperti biasa apabila telah habis musim perayaan.

“Sebab itu kita memperkenalkan program seumpama ini (Agrofiesta Aidilfitri) supaya para usahawan yang ada produk mereka sendiri bukan sahaja boleh menjual produk-produk mereka, pada masa yang sama boleh mempromosi lagi jenama mereka kepada pengunjung-pengunjung pusat membeli-belah.

“Apabila Agrofiesta Aidilfitri dianjurkan dalam pusat membeli-belah, harapan kita (FAMA) selepas musim perayaan ini produk usahawan mereka boleh kekal dalam pusat membeli-belah yang merupakan pusat sehenti untuk para pengunjung membeli pelbagai barangan,” jelasnya lagi.

Bercerita lanjut, Mohd. Junaidi memberitahu bahawa para peserta Agrofiesta Aidilfitri pada kali ini turut dibenarkan menjual produk daripada usahawan produk lain (vendor) yang pernah menerima bimbingan FAMA.

“Kita tahun bahawa kompleks membeli-belah ini adalah ‘One Stop Centre’, pada musim perayaan para pengunjung ke sini bukan sahaja untuk mencari baju raya, malah mereka akan mencari barang-barang keperluan lain sebagai persiapan menyambut hari lebaran, termasuk biskut siap untuk dimakan atau dimasak.

“Jadi, FAMA menganjurkan Agrofiesta Aidilfitri ini adalah untuk memudahkan juga pengguna mendapatkan barangan langsung daripada usahawan dengan harga yang lebih berpatutan tanpa ‘orang tengah’,” jelasnya.

GAMBAR kenang-kenangan kakitangan FAMA Pulau Pinang yang sempat dirakamkan lensa Buletin Mutiara di pejabat mereka dekat Perai pada petang tadi.

Tambah beliau, dengan penganjuran program ini FAMA berharap para peserta Agrofiesta Aidilfitri bukan sahaja boleh meningkatkan jualan kasar secara langsung, malah menjana pendapatan menerusi jualan dalam talian.

“Menerusi program ini (Agrofiesta Aidilfitri 2023), kita (FAMA Negeri Pulau Pinang) berharap para usahawan yang pernah mendapat bimbingan kita ini dapat mengutip sebanyak mungkin ‘duit raya’ (jualan kasar).

“Berdasarkan penganjuran festival agro di kedua-dua pusat membeli belah sebelum ini, hasil jualan kasar para usahawan secara keseluruhannya adalah lebih RM1 juta walaupun peringkat FAMA menyasarkan sekitar RM500,000 sahaja (hasil jualan kasar mereka).

“Pada sebelah tengah hari Agrofiesta Aidilfitri memang kurang dikunjungi berbanding selepas waktu bekerja sekitar 5.00 petang.

“Waktu puncak pengunjung akan berpusu-pusu ke Agrofiesta Aidilfitri, kalau dilihat pada corak penganjuran pada tahun-tahun sebelum ini, adalah bermula pada dua minggu terakhir sebelum menyambut Aidilfitri,” jelasnya sambil menjangkakan hasil jualan kasar para usahawan yang menyertai Agrofiesta Aidilfitri 2023 lebih tinggi berbanding tahun-tahun sebelum ini.

END