FAMA Pulau Pinang mula terima bekalan beras putih tempatan – Exco

Admin

TELUK AIR TAWAR – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Pulau Pinang hari ini mula menerima sebanyak 3,000 kampit Berat Putih Tempatan (BPT) untuk diedarkan ke beberapa pasar raya di negeri ini.

Exco Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi, Fahmi Zainol memberitahu bahawa ia adalah langkah awal Kerajaan Negeri bersama-sama FAMA Pulau Pinang dalam memastikan bekalan beras tempatan di negeri ini mencukupi.

“Saya difahamkan, Pulau Pinang merupakan negeri pertama yang membawa masuk bekalan beras bagi mencukupkan permintaan.

“Selain membawa masuk bekalan, Kerajaan Negeri juga sedang mengenal pasti punca kekurangan isu kekurangan beras tempatan dan kita jangka masalah ini dapat diselesaikan,” katanya kepada Buletin Mutiara ketika ditemui selepas menghadiri majlis Himpunan Korporat Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dekat Pejabat RISDA Pulau Pinang di sini sebentar tadi.

 

 

Hadir sama, Pengarah RISDA Negeri Pulau Pinang, Hairul Nizam Abdul Jalil; barisan kepimpinan serta kakitangan agensi Kerajaan Persekutuan berkaitan.

Dalam pada itu, Fahmi turut menasihati penduduk negeri ini supaya tidak melakukan pembelian panik bagi mengelakkan masalah kekurangan beras tempatan semakin meruncing.

“Berdasarkan siasatan yang kita jalankan, jika diikutkan dari segi proses penghasilan beras bermula dari peringkat menyediakan benih padi, proses tuaian dan penghasilan beras itu sendiri sebenarnya adalah masih mencukupi.

“Namun begitu, kita dapati bahawa ada beberapa pihak yang cuba mengambil kesempatan terhadap situasi kekurangan bekalan beras tempatan ini untuk mengaut keuntungan.

“Jadi kita sedang melakukan siasatan terperinci dan akan bertindak supaya mereka yang terlibat akan menerima hukuman yang setimpal,” ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak itu lagi sambil mengakui bahawa memang terdapat isu kekurangan bekalan beras tempatan di beberapa pasar raya di negeri ini.

Terdahulu, Fahmi meluangkan masa kira-kira sejam bersama-sama kakitangan RISDA Pulau Pinang untuk meneliti keperluan dan masalah berkaitan pekebun-pekebun kecil di bawah Badan Berkanun Persekutuan di bawah Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW) itu.

Beliau turut mengalu-alukan Kerjasama rapat antara RISDA Pulau Pinang dan Kerajaan Negeri dalam membantu meningkatkan lagi pendapatan pekebun-pekebun kecil di negeri ini.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR