FAP kemuka rayuan terus kepada FIFA

Admin
DR. Amar Pritpal Abdullah (kiri) bersama Soon Lip Chee pada sidang media hari ini.

GEORGE TOWN – Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) akan mengemukakan rayuan kepada badan induk Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berhubung isu pemotongan enam mata.

Presidennya, Dr. Amar Pritpal Abdullah dalam satu sidang media hari ini menegaskan pihaknya kini dalam proses menyediakan segara dokumen-dokumen penting sebelum peguam FAP membawa perkara tersebut ke Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS).

“Kita sedang sediakan segala dokumen berkaitan isu pembayaran kepada bekas pemain import dan menjangkakan keputusan ini dapat diketahui dalam bulan September nanti,” ujar beliau dalam satu sidang media di Komtar hari ini.

Hadir sama, Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee; Timbalan Presiden FAP, Datuk Abdul Rashid Ismail dan delegasi FAP.

Mengulas lanjut mengenai perkara tersebut, Amar menzahirkan rasa sedih sambil menyifatkan tindakan memotong mata itu sebagai tidak adil kepada pemain muda.

“Ini hutang lama dari pengurusan lama, jadi tidak adil hukuman ini dikenakan kepada pemain muda yang bermain bermati-matian untuk melayakkan diri ke Liga Super.

“Hukuman ini langsung tidak memberi motivasi kepada seluruh pemain dan sangat berat untuk mereka. FIFA mungkin boleh denda kami (FAP) tetapi bukan dengan pemotongan mata,” ujarnya.

Pada 21 Julai lalu, penyokong skuad Pulau Pinang dikejutkan dengan berita pemotongan enam mata yang berlaku kurang 24 jam selepas tamat perlawanan 20 Julai lalu menentang pasukan PDRM.

Pemotongan tersebut sekaligus ‘meruntuhkan’ hasrat Pulau Pinang untuk beraksi di Liga Super tahun hadapan dan jatuh ke tangga ketujuh Liga Perdana.

Ketika menjelaskan mengenai tuntutaan bekas pemain import tersebut, Amar memaklumkan bahawa pihaknya sudah membuat pembayaran manakala baki ‘bunga’ yang ada, lewat dilunaskan akibat masalah ‘salah faham’ tukaran mata wang asing.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD