Farizan Darus serah tugas Setiausaha Kerajaan Negeri kepada Abdul Razak

Admin

GEORGE TOWN – Dato’ Seri Farizan Darus menyerahkan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri kepada Dato’ Abdul Razak Jaafar di sini hari ini.

Majlis dimulakan dengan upacara menandatangani dan menyerahkan buku tugas di antara Farizan dan Abdul Razak sambil disaksikan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.

Kon Yeow dalam ucapannya meletakkan keyakinan dan sepenuh kepercayaan kepada Abdul Razak dalam menerajui pentadbiran Kerajaan Negeri secara telus dan efisien berteraskan prinsip Cekap, Akauntabel dan Telus (CAT).

“Tinggi harapan saya agar gandingan baharu ini akan mewujudkan sinergi yang kukuh dan semangat kerjasama utuh dalam menjayakan dasar-dasar Kerajaan Negeri berlandaskan Visi Penang2030 ke arah sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

“Sebagaimana ditekankan dalam Belanjawan 2020 iaitu Penang2030 Teras Kejayaan Kemakmuran Bersama, diharap Abdul Razak akan bersama-sama barisan kepimpinan dan juga pentadbiran Kerajaan Negeri merealisasikan semua intipati bagi membolehkan Pulau Pinang terus mara ke hadapan dalam usaha pembaharuan digital serta pintar seiring dengan penglibatan setiap lapisan masyarakat dan pihak industri untuk muncul sebagai negeri yang menginspirasikan negara,” ujarnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi pada majlis berkaitan.

Hadir sama, Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato’ Law Choo Kiang; barisan Exco, ex-officio dan Ketua-ketua Jabatan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Abdul Razak, 56, dilantik menggantikan Farizan berkuatkuasa esok, 8 November yang bersara wajib hari ini (7 November 2019).

Beliau sebelum ini menjawat jawatan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) di Kementerian Kerja Raya dan telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama lebih 27 tahun apabila dilantik sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 1 Disember 1992.

Mempunyai pengalaman luas dalam bidang pentadbiran dan pembangunan perbandaran, daerah, kerajaan tempatan dan pengurusan perolehan, kewangan serta sumber manusia.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : LAW SUUN TING