Farmer To Farmer inisiatif Kerajaan Negeri bantu usahawan kecil pasca pandemik

Admin

PULAU BETONG – Setelah tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada April lalu, Kerajaan Negeri terus memberi fokus untuk membantu usahawan kecil melalui program Farmer To Farmer (FTF) yang diasaskan sejak tahun 2021.

 

 

Menurut Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, Kerajaan Negeri menyalurkan sebanyak RM500,000 melalui Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang dalam menjayakan program tersebut.

 

 

“Semasa pandemik melanda sejak tahun 2020, Kerajaan Negeri giat membantu dari segi bantuan tunai dan sebagainya kepada usahawan-usahawan kecil berkaitan pertanian ini.

 

 

“Namun setelah pasca pandemik apa yang kita dapati, ramai yang hilang pekerjaan dalam tempoh PKP dan memilih berniaga sendiri bagi mencari sumber pendapatan.

 

 

“Justeru, kita lebih menekankan bantuan FTF untuk tingkatkan pendapatan serta hasil usahawan-usahawan kecil ini agar mereka berkembang dan kita mahu projek ini disebarkan lebih meluas kepada golongan usahawan-usahawan yang layak,” ujar beliau ketika berucap pada Program Jelajah Kampung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Betong di sini hari ini.

 

Hadir sama, Exco Agroteknologi & Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Norlela Ariffin; ADUN Pulau Betong, Mohd. Tuah Ismail; Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang, Mohd. Muhaimin Ibrahim dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) setempat.

 

Mengulas lanjut, Zakiyuddin memaklumkan bahawa FTF merupakan sebahagian daripada peruntukan bernilai RM1.5 juta yang disalurkan oleh Kerajaan Negeri kepada Jabatan Pertanian yang mana baki RM1 juta digunakan bagi memperkasakan industri asas tani.

 

 

“Peruntukan daripada Kerajaan Negeri ini tidak lain tidak bukan adalah untuk melihat keselesaan rakyat di semua peringkat,” katanya yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Koperasi dan Pemerkasaan Komuniti.

 

Melalui jelajah tersebut, delegasi yang diketuai Mohd. Tuah memulakan lawatan ke premis pembuatan kerisik milik Norlia Md. Noor di Pulau Betong yang menerima bantuan peralatan bernilai RM5,600.

Destinasi kedua pula, barisan kepimpinan Kerajaan Negeri turut menyampaikan sumbangan kepada pengusaha ikan bilis rangup dan kuih-muih sejuk beku, Normala Samsuri bernilai RM5,000.

 

Kunjungan ketiga adalah menyampaikan sumbangan RM37,000 kepada bengkel kuih-muih sejuk beku milik Mazni dan rakan-rakan sebelum menutup jelajah dengan melawat Projek Pembaikan Rumah Rakyat Termiskin (Mohd. Khairul Omar) yang siap dibina dengan kos RM25,387.26.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR