Fasa 1 Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus sedia dibuka

Admin

PAYA TERUBONG – Pelbagai lapisan masyarakat dan komuniti pada petang tadi berjalan kaki serta mengayuh basikal bersama-sama Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow bagi meraikan pembukaan Fasa 1 Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus yang dijadual bermula esok.

KETUA Menteri

Bercakap kepada pemberita, beliau yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan komunikasi menzahirkan rasa lega kerana projek tersebut akhirnya dapat disempurnakan sebagaimana dirancang.

“Selepas perancangan projek bermula enam tahun lalu, proses pelaksanaannya memang menghadapi pelbagai cabaran termasuk bantahan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kemalangan (di tapak pembinaan) yang berlaku… akhirnya projek ini dapat disiapkan.

“Saya berharap para pengguna (lebuh raya ini) dapat mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan laluan trafik masuk dan keluar serta mematuhi segala isyarat lalu lintas di sini,” jelasnya selepas menyempurnakan acara pelepasan peserta program berkaitan di sini pada 12 Januari 2021.

Di samping itu, Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong turut memberitahu bahawa Fasa 2 projek laluan alternatif yang menghubungkan Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu ke Air Itam dijangka siap pada tahun 2025.

“Fasa dua projek ini tidak kurang juga cabarannya,” responsnya.

YEW Tung Seang

Bercakap pada sidang media sama, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang memberitahu bahawa Fasa 1 projek Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus bernilai RM378.2 juta tersebut merupakan antara peruntukan paling besar yang dibiayai oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan setakat ini.

“Sebelum pembukaan jalan ini (pada esok), kita memberi peluang kepada para pengayuh basikal dan orang ramai membawa anggota keluarga dan anak-anak menyertai jalan ria di laluan ini.

“Penyertaan dihadkan 500 orang sahaja, mengikut SOP (prosedur operasi standard),” ujarnya sambil berharap projek infrastruktur awam tersebut melimpahkan manfaat kepada penduduk di bahagian pulau negeri ini.

ANTARA gambar yang sempat dirakamkan lensa Buletin Mutiara.

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow turut diminta menjelaskan mengenai perkembangan terbaru projek terowong bawah dasar laut yang dirancang pada peringkat Kerajaan Negeri.

“Dalam masa terdekat, kita (Kerajaan Negeri) akan menerima hasil kajian kebolehlaksanaan…kira-kira satu atau dua minggu lagi.

“Selepas meneliti kajian kebolehlaksanaan ini, kita (Kerajaan Negeri) akan buat keputusan (sama ada meneruskan projek terowong bawah dasar laut atau tidak),” responsnya sebagai menjawab soalan pemberita.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : CHAN KOK KUAN