FEC mantapkan penggunaan Bahasa Inggeris

Admin

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

BALIK PULAUPenganjuran kali kedua Fun English Camp (FEC) yang bertujuan mengasah kebolehan bertutur dengan penggunaan tatabahasa betul dalam Bahasa Inggeris telah berjaya memperoleh sambutan menggalakkan dengan penyertaan seramai 70 pelajar tingkatan 1 di sini baru-baru ini.

Pengerusi Pertubuhan Wanita Mutiara, Betty Chew Gek Cheng berkata, penganjuran FEC kali kedua umpamanya ingin membuka peluang kepada pelajar desa untuk mahir dalam berbahasa dan mendedahkan mereka tentang kepentingan penggunaan Bahasa Inggeris.

“Matlamat penganjuran adalah untuk berkongsi dengan anak-anak desa bahawa mempelajari Bahasa Inggeris bukanlah susah, sebaliknya, ianya senang dan menyeronokkan.

“Pelajar yang menyertai FEC bukan sahaja dapat belajar penggunaan tatabahasa, malah, juga dapat meningkatkan keyakinan diri untuk menutur dalam bahasa Inggeris,’’ katanya ketika merasmikan FEC di Dewan Komuniti MPPP di sini baru-baru ini.

Hadir sama memberi sokongan pada FEC kali kedua ini ialah Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Abdul Halim Hussain dan isteri Timbalan Ketua Menteri I, Datin Aishah Zainul.

Tambah beliau, hanya dengan yuran penyertaan RM10, para pelajar didedahkan dengan pelbagai aktiviti antaranya Kemahiran Pembacaan & Penulisan, Pembinaan & Penggunaan Tatabahasa, Kemahiran Pemikiran Kritis, Kemahiran dan Persediaan Pembentangan dan Choral Speaking.

Dalam pada itu, Ketua Fasilitator FEC, Noraini Abu Bakar berkata, penganjuran FEC yang turut mendapat sokongan Penang English Language Teacher’s Association (PELLTA) tersebut merupakan inisiatif Pertubuhan Wanita Mutiara dalam menjadikan pembelajaran lebih mudah, menarik dan menyeronokkan.

“Kita cuba untuk merapatkan jurang peluang yang wujud antara pelajar di desa dengan pelajar di bandar.

“Pelajar di bandar mempunyai kelas intensif setiap minggu, manakala bagi pelajar desa, ia adalah sukar untuk mereka menyertai mana-mana kelas tambahan dan pengukuhan berbahasa,” ujar Noraini.

PARA peserta dan jawatankuasa penganjur FEC bergambar bersama para tetamu khas dan fasilitator di sini baru-baru ini.
PARA peserta dan jawatankuasa penganjur FEC bergambar bersama para tetamu
khas dan fasilitator di sini baru-baru ini.