GEORGE TOWN – Lebih 10 kelab sukan air dari Pulau Pinang dan negeri-negeri lain dijangka memeriahkan Festival Perahu Naga Pulau Pinang (FPNPP) 2026 yang akan berlangsung pada 14 Jun depan.
Penganjuran acara tahunan oleh Penang Chinese Swimming Club (CSC) di perairan hadapan premisnya di Tanjung Bungah itu turut memperkenal kategori baharu iaitu Stand Up Paddling (SUP), yang julung kali dipertandingkan dalam festival berkenaan.
Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai berkata, penganjuran festival tersebut dengan kerjasama Persatuan Perahu Naga Pulau Pinang merupakan usaha Kerajaan Negeri mempromosikan Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan berasaskan aktiviti air, selain mengukuhkan kedudukannya sebagai hab perlumbaan perahu naga di rantau ini.
Tahun ini, FPNPP mengetengahkan dua kategori perlumbaan perahu naga iaitu Terbuka Pulau Pinang bagi 12 dan 22 kru serta terbuka kepada semua tanpa mengira jantina, dengan laluan sejauh 200 meter yang dijangka menyajikan aksi mendebarkan.
“Bagi menambah kemeriahan, penganjur turut perkenalkan pertandingan SUP yang juga akan berlangsung di laluan sama sejauh 200 meter.
“Kita yakin pengenalan acara baharu ini mampu menarik lebih ramai peminat sukan air, sama ada peserta baharu mahupun berpengalaman,” katanya ketika mengumumkan penganjuran tersebut dalam sidang media di Komtar, di sini hari ini.
Turut hadir, Presiden Penang CSC, Victor Tan Seang Hin.

Tambah Hon Wai, festival tersebut juga menjadi platform pendedahan kepada atlet baharu dan sedia ada untuk menyertai pertandingan pada peringkat lebih tinggi.
“Yuran penyertaan ditetapkan sebanyak RM250 bagi acara 20 kru perahu naga, RM150 (12 kru), manakala acara SUP yang melibatkan seorang peserta dikenakan yuran RM50.
“Penganjuran ini juga dilihat sebagai persediaan kepada atlet untuk menyertai pelbagai kejohanan, termasuk Regatta Perahu Naga Antarabangsa Pulau Pinang 2026 yang dijangka berlangsung pada 27 hingga 29 November depan,” katanya.
Tarikh tutup pendaftaran adalah pada 23 Mei depan. Sebarang pertanyaan dan pendaftaran boleh dibuat melalui e-mel di [email protected] atau menghubungi Sharin di talian 0112-781 1708 atau Victor di talian 019-480 6556.
Selain itu, orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut menerusi laman Facebook Chinese Swimming Club Penang.
Oleh : MOHD. AIZAT SHARIF FISALLUDDIN
Gambar : ALISSALA THIAN