FGT sembah teater Parodi Boria Jawi Peranakan

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Pertunjukan Teater Parodi Boria Jawi Peranakan yang dipentaskan khas sempena berlangsungnya Festival Georgetown 2014 (FGT) bertempat di Padang Kota Lama di sini baru-baru ini ibarat garapan kehidupan masyarakat Melayu, India dan Cina pada zaman awal kewujudannya.

Presiden Persatuan Jawi Peranakan, Datuk Wazir Jahan Karim berkata, boria merupakan sketsa unik taridrama berasal dari Parsi yang bermula dengan satu lawak gaya hidup masyarakat bandar berserta tema-tema yang diketengahkan bersifat isu-isu semasa.

“Boria adalah sebagai satu parodi moden mengenai penghidupan bandar yang berdisfungsi.

“Boria membuka perhatian kepada moral harian dengan mesej ubah pandangan dan sikap,” ujarnya yang juga Kurator persembahan Parodi Teater Boria baru-baru ini.

Menurut Wazir Jahan, pada abad ke- 19, boria juga digunakan sebagai sentimen menyampaikan kebangkitan kehidupan sosial dan perubahan yang berlaku pada tempoh masa tersebut terhadap penjajahan British yang bersifat anti-kolonial.

“Penjajahan British telah beberapa kali cuba mengharamkan Boria, tetapi tidak berjaya.

“Malah, selepas kemerdekaan (pada tahun 1957), terdapat juga segelintir pihak yang cuba mengharamkan boria kerana kononnya menggangu belia.

“Sehinggalah pada tahun 1960an, boria mula dinaikkan martabatnya sehingga menjadi satu teater Melayu unik di Pulau Pinang,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Wazir Jahan turut berkongsi harapan agar Kerajaan Negeri bersama-sama George Town World Heritage Incorporated (GTWHI) dapat membantu mencari jalan penyelesaian berhubung usaha pemuliharaan tapak kawasan lama di Jalan Mesjid yang terbiar.

“Lokasi tersebut dikenali Hasharah Khana yang merupakan kawasan penaung boria pertama di Pulau Pinang,’’ ujar beliau.