P. Pinang pernah mohon Pusat biaya kos pemajuan PIP, tapi tiada maklum balas – Exco

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri pernah memohon Kerajaan Persekutuan untuk mempertimbang pelaksanaan Pelan Induk Pengangkutan (PIP) di Pulau Pinang, namun langsung tiada maklum balas daripada pihak berkaitan.

Justeru, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, Kerajaan Negeri hari ini mengambil keputusan untuk meneruskan sendiri pelaksanaan pelan tersebut demi menangani cabaran trafik sesak kini dan pada masa hadapan.

“Ketua Menteri (Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng) telah mengemukakan surat bertarikh 26 November 2013 kepada YB Pemangku Menteri Pengangkutan (Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein) bagi tujuan ini, namun tiada maklum balas diterima sehingga sekarang.

“Sekali lagi, Y.A.B Ketua Menteri telah mengemukakan permohonan kepada Perdana Menteri melalui surat bertarikh 28 Mei 2014, malangnya pihak Kerajaan Negeri tidak menerima sebarang maklum balas,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.

Kon Yeow memberi penjelasan tersebut pada Sesi Penggulungan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini.

Menurut Kon Yeow, sebanyak 48 syarikat membeli dokumen tender pada 8 Ogos 2014, dengan tarikh tutup penyerahan Permohonan Kertas Cadangan (RFP) kepada Kerajaan Negeri dilanjutkan sehingga 16 Februari tahun lalu.

“Hanya enam pihak mengemukakan RFP kepada Kerajaan Negeri, untuk dinilai oleh Jawatankuasa Penilaian Kewangan Dan Teknikal yang dipengerusikan oleh Pegawai Kewangan Negeri.

“Melalui tender terbuka, SRS Consortium dipilih pada 9 Julai 2014, lalu diberi surat pelantikan sebagai rakan penyampaian projek (PDP) pada 14 Ogos 2014.

“Kerajaan Negeri menjelaskan kepada PDP yang dilantik bahawa satu perjanjian hanya akan ditandatangani setelah PDP berjaya memperoleh kelulusan-kelulusan berwajib daripada agensi Persekutuan yang berkenaan.

“Contohnya, kelulusan daripada SPAD (Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat) bagi skim rel, kelulusan DEIA (Laporan Penilaian Terperinci Terhadap Alam Sekitar) daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan sebagainya.

“Semua risiko akan ditanggung PDP sekiranya permohonan tersebut tidak berjaya,” jelasnya.

}