Fiesta Sukan Untuk Semua Pulau Pinang 2019 kembali, 2 – 8 Disember

GEORGE TOWN – Fiesta Sukan Untuk Semua Pulau Pinang kembali lagi tahun ini dengan penganjuran pelbagai aktiviti dan jualan alatan sukan.

 

Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee berkata, penganjuran yang bakal berlangsung pada 2 hingga 8 Disember ini di Konkos Tingkat Bawah, Prangin Mall akan membawa kelainan berbanding siri pertama tahun lalu.

 

“Tahun ini merupakan tahun kedua Fiesta Sukan Untuk Semua Pulau Pinang dianjurkan dan kita menawarkan pelbagai aktiviti menarik seperti pameran, jualan alatan sukan, aktiviti badminton activation dan sesi bertemu pemain badminton profesional.

 

SOON Lip Chee.

“Lebih menarik, Pertandingan Badminton Remaja yang menawarkan jumlah hadiah sehingga RM10,000 tunai, akan berlangsung dalam kompleks membeli-belah buat pertama kali,” ujarnya kepada pemberita dalam sidang media di Komtar, tadi.

 

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lancang, Ong Ah Teong serta wakil daripada Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang, penganjur dan penaja.

 

Difahamkan, 50 peratus hasil jualan alatan sukan sepanjang penganjuran Fiesta Sukan Untuk Semua Pulau Pinang 2019 oleh syarikat pembekal alatan sukan, RK South Asia Sdn. Bhd. akan disalurkan kepada Persatuan Berbasikal Kebangsaan Malaysia sebagai dana pasukan mereka.

 

Malah, orang ramai yang hadir turut berpeluang menikmati potongan harga sehingga RM30 bagi pembelian RM300 dan ke atas dengan menggunakan kupon pada risalah promosi yang akan diedarkan kepada umum mulai hari ini.

 

RISALAH promosi dengan kupon potongan harga.

Dalam pada itu, Lip Chee juga memaklumkan bahawa pihaknya akan meneruskan penganjuran ‘Sukan Untuk Semua’ bagi menggalakkan lebih ramai masyarakat melibatkan diri dalam aktiviti sihat.

 

Sejak dilancarkan inisiatif ‘Sukan Untuk Semua’ seramai 42,994 orang telah mengambil bahagian dengan menyertai 21 program sukan yang dianjurkan sehingga 30 Oktober 2019.

 

“(Dan) saya mensasarkan tahun ini penglibatan masyarakat dalam ‘Sukan Untuk Semua’ akan mencecah sehingga 50,000 orang,” katanya.

 

 

Pertandingan Badminton Remaja

Pertandingan ini terbuka kepada remaja bawah 12 tahun dan 17 tahun mengikut lima kategori yang dipertandingkan, iaitu:

        • Beregu lelaki bawah 12 tahun
        • Beregu wanita bawah 12 tahun
        • Beregu campuran bawah 17 tahun
        • Beregu lelaki bawah 17 tahun
        • Beregu wanita bawah 17 tahun

Yuran penyertaan adalah atara RM60 hingga RM80 dan terbuka kepada 32 pasangan. Sistem pertandingan pula adalah secara kalah mati dengan satu set 21 mata bergantung kepada jumlah penyertaan.

Maklumat lanjut, sila hubungi Cik Marilyn di talian 012-345 2818. Tarikh tutup penyertaan adalah pada 22 November 2019.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALVIE CHENG