Fikir sedalam-dalamnya sebelum isytihar darurat – Ketua Menteri

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menzahirkan perasaan bimbang berhubung impak berantai yang bakal melanda sektor ekonomi dan kewangan negeri, sekiranya perintah darurat diisytiharkan kelak.

Justeru, beliau berharap pihak berwajib di peringkat Putrajaya dapat membuat pertimbangan sedalam-dalamnya sebelum memuktamadkan keputusan yang disifatkan begitu besar tersebut.

“Begitu ramai pihak telahpun memberi pendapat, antaranya ekonomi serta sektor kewangan akan bertambah teruk lagi (jika perintah darurat diisytiharkan).

“Kita (Kerajaan Negeri) begitu bimbang akan impak berantai jika perintah darurat diisytiharkan.

“(Justeru,) kita berharap pertimbangan sedalam-dalamnya dapat dilakukan sebelum apa jua keputusan dibuat,” jelasnya yang juga di sini pada 25 Oktober 2020.

Respons itu diberikan sejurus Majlis Pelancaran Therapedic iaitu pusat terapi perubatan robotik pertama utara Semenanjung negara.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Chris Lee Chun Kit; Presiden Medical Tourism, Dr. Mary Ann Harris; Pengasas Therapedic, James Tan dan Ketua Pegawai Eksekutif Therapedic, Jennifer Lok turut sertai sidang media tersebut.

Terdahulu, Istana Negara mengesahkan pertemuan Raja-Raja Melayu pada 2.30 petang tadi untuk membincangkan serta memperhalusi cadangan yang dikemukakan Perdana Menteri sebelum itu.

Pelbagai spekulasi timbul berhubung cadangan berkaitan antaranya pengisytiharan darurat sebagai langkah politik daripada pentadbiran Perdana Menteri sendiri antaranya bagi mengelakkan undian RUU Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat pada November ini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALVIE CHENG
Video : LAW SUUN TING