Fitnah Guan Eng, NSTP diarah bayar RM300,000 ganti rugi

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 13 Januari lalu memutuskan artikel berjudul “Guan Eng tarik balik saman Shaik Hussein” yang disiarkan dalam akhbar Berita Harian pada 20 Ogos 2015 mempunyai niat jahat serta berunsur fitnah.

Hakim Y.A. Datuk Rosilah Yop mengarahkan New Straits Times Press Berhad (NSTP) membayar RM300,000 ganti rugi, kos sebanyak RM35,000 serta 5 peratus faedah sehingga penyelesaian penuh kepada plaintif, iaitu Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.

“Mahkamah mendapati pihak wartawan Berita Harian memang mengetahui terma-terma dalam penghakiman persetujuan antara Datuk Shaik Hussein Mydin dan Lim Guan Eng, memandangkan beliau (Siti Sofia) telah meneliti, membaca dan memahami draf penghakiman persetujuan itu.

“Kedua, Mahkamah mendapati artikel berita tersebut tidaklah wajar dan tidak tepat berdasarkan inti penghakiman
persetujuan.

“Berdasarkan penghujahan kedua-dua belah pihak, Mahkamah juga mendapati ada niat buruk dan tuduhan rasuah yang serius,” jelas Peguam Plaintif, Simon Murali kepada pemberita di luar kamar Mahkamah Tinggi 4 dekat Kompleks Mahkamah Tinggi Pulau Pinang di sini.

Hadir sama, Raja Syarafina Raja Shuib (Pegawai Khas Undang-Undang Kepada Ketua Menteri.

Simon Murali berkata, kenyataannya itu adalah berdasarkan ketetapan yang dilafazkan oleh Hakim Y.A. Rosilah.

Pun begitu, Simon Murali memberitahu  pihak defendan yang diwakili oleh Leong Wai Hong mempunyai hak untuk
membuat rayuan pada tahap seterusnya.

Terdahulu, Shaik Hussein pada 5 Oktober 2012 dilaporkan menuduh Guan Eng sebagai korup, dengan melakukan
penipuan serta menerima rasuah daripada Pusat Pergigian Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIDC), yang dikaitkan dengan suatu projek pembangunan bercampur di atas sebidang tanah berhampiran Taman Manggis di Jalan Zainal Abidin.

Tuduhan ke atas Guan Eng itu turut disiar dalam akhbar Berita Harian, milik NSTP.

Akhirnya, kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikan kes tersebut secara penghakiman persetujuan di mahkamah,
dengan syarat permohonan maaf serta menarik balik tuduhan dibuat oleh Shaik Hussein dalam akhbar Berita Harian juga.

Guan Eng dalam sesi perbicaraan pada 14 November tahun lalu antara lain mempertikai laporan berita berjudul
”Guan Eng tarik balik saman Shaik Hussein” yang disiarkan dalam akhbar Berita Harian pada 20 Ogos 2015.

Katanya, tulisan pada perenggan dua berita itu yang didakwa tidak lengkap serta memberi mesej yang tidak benar
pada dirinya.

Perenggan kedua berita tersebut tertera:

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP, selaku plaintif bersetuju menarik balik saman tanpa sebarang syarat,
dengan kedua-dua pihak bersetuju untuk menanggung kos masing-masing.

“Seolah-olah saya pula yang bersalah kerana menarik balik saman itu.

“Ekoran perenggan kedua tidak benar, perenggan-perenggan berikutnya juga mencerminkan tidak benar,” tegas Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP kepada Wai Hong.

Perbicaraan kes itu ditangguhkan, disusuli proses erata pada 18 Disember tahun lepas, seterusnya sesi keputusan
kehakiman yang telah pun dilangsungkan pada 13 Januari lalu.}