Kenyataan 23 Nov 2016, berikan pandangan pun disiasat – Guan Eng

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Bagan yang juga Setiausaha Agung DAP, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng pada 23 November 2016 hanya sekadar memberi pandangan semata-mata.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, kenyataan tersebut adalah lebih bersifat perbincangan dan pandangan semata-mata.

“Dalam kenyataan tersebut, saya meminta MCA, MIC, Gerakan dan SUPP supaya gunakanlah saluran Perlembagaan Persekutuan…iaitu untuk meminda Perlembagaan Persekutuan (terhadap sebarang akta) memerlukan  sekurang-kurangnya 2/3 majoriti (menyokong).

“(Dan) dalam masa yang sama meminta MCA, MIC, Gerakan dan SUPP menarik diri, keluar daripada Barisan Nasional (BN) kerana mengkhianati prinsip mereka dan hilang hala tuju demi kepentingan politik mereka.

“Sekiranya meminta MCA, MIC, Gerakan dan SUPP keluar daripada BN pun boleh disiasat di bawah Akta Hasutan, mengapa mereka (MCA, MIC, Gerakan dan SUPP) tidak disiasat apabila meminta kita keluar Pakatan?,” ujarnya dalam sidang media di sini 13 Januari lalu.

Hadir sama, peguam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, R.S.N. Rayer dan Setiausaha Politiknya, Wong Hon Wai.

Guan Eng, dalam pada itu, turut meminta supaya media massa terutama media arus perdana supaya mencetak penuh kenyataan akhbar beliau dan bukannya sebahagian sahaja yang bertujuan untuk memutar-belitkan kenyataan asal.

“Buat masa ini, saya difahamkan terdapat lima laporan polis dibuat berhubung perkara ini iaitu dari Johor, Selangor dan Kuala Lumpur,” ujarnya.

(Kenyatan penuh berbahasa Inggeris tersebut boleh diakses melalui link berikut: https:// limguaneng.com/index.php/2016/11/23/mcamic-gerakan-and-supp-should-withdraw-frombn-following-bns-endorsement-of-hudud-likelawsec/).

Terdahulu, dua pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, Selangor hadir ke pejabat beliau di Tingkat 28, Komtar bagi mengambil keterangan berhubung kenyataan akhbar berkaitan.

Guan Eng yang diiringi peguamnya meluangkan masa kira-kira 40 minit bagi merakamkan keterangan.

Guan Eng memberitahu, beliau difahamkan akan disiasat di bawah Seksyen 4 (1) (c) Akta Hasutan 1948 bersabitkan kesalahan di bawah Seksyen 3 (1) (a), (c) dan (d) akta sama.

Akta di bawah Seksyen 4(1) (c) menyatakan: –

4. (1) Mana-mana orang yang –

(c) mencetak, menerbitkan, menjual, menawarkan untuk dijual, mengedarkan atau mengeluarkan semula apa-apa pernerbitan menghasut; atau melakukan suatu kesalahan dan, apabila disabitkan, boleh bagi kesalahan kali pertama didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan, bagi kesalahan yang kemudian, boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun; dan apa-apa penerbitan meghasut yang didapati dalam milik
orang itu atau yang digunakan sebagai kerengan dalam perbicaraannya hendaklah dilucuthakkan dan boleh dimusnahkan atau dilupuskan dengan apa-apa cara lain sebagaimana yang diarahkan oleh mahkamah.

Manakala Seksyen 3(1) iaitu Sesuatu ‘kecenderungan menghasut’ ialah kecenderungan –

(a) bagi mendatangkan kebencian atau penghinaan atau bagi membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja atau Kerajaan;

(c) bagi mendatangkan kebencian atau penghinaan atau bagi membangkitkan perasaan tidak setia terhadap pentadbiran keadilan di Malaysia atau di mana-mana Negeri;

(d) bagi menimbulkan perasaan tidak puas hati atau tidak setia di kalangan rakyat Yang di-Pertuan Agong atau rakyat Raja mana-mana Negeri atau di kalangan penduduk Malaysia atau penduduk mana-mana Negeri;.