Harap sumbangan ringan beban keluarga mangsa, harap mereka tabah – KM

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng baru-baru ini menyampaikan cek sumbangan berjumlah RM30,000 kepada keluarga mendiang Mejar C. Kayamboo yang maut dalam nahas pesawat milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terhempas berhampiran Terminal Peluru, Pangkalan Udara (RMAF) dekat Butterworth, 21 Disember 2016.

Sumbangan Kerajaan Negeri itu disampaikan kepada balu mendiang, S. Usha, 43, sambil ditemani ayah mendiang, M. Chellam, 72, di sini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon; Exco Pembangunan Pelancongan, Danny Law Heng Kiang; Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo dan Pegawai Memerintah No. 16 Skuadron Pangkalan Udara Subang, Selangor, Leftenan Kolonel Izhar Zulhisham Ibrahim.

Selain keluarga mendiang Mejar Kayamboo, turut menerima sumbangan ialah tiga anggota lain yang tercedera dalam nahas tersebut.

Mewakili Leftenan Hamdi Ahmad Hanafi ialah ayahnya, Ahmad Hanafi Talib, 63; Kapten Wai Lik (bapanya, Wai Kam Sui, 60) dan Sarjan Mohd. Sofi Azizan (adiknya, Syukriah Azizan).

Mereka masing-masing menerima sumbangan RM5,000 daripada Kerajaan Negeri.

Dalam pada itu, Guan Eng memberitahu, sumbangan tersebut adalah tanda keprihatinan Kerajaan Negeri dalam menghargai pengorbanan mangsa-mangsa yang terlibat.

“Sumbangan ini menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri dan masyarakat tidak lupa sumbangan anggota-anggota TUDM yang berkhidmat dan berkorban demi negara.

“Takziah dan saya harap sumbangan ini dapat meringankan beban yang ditanggung oleh keluarga mendiang Mejar Kayamboo dan berharap mereka tabah.

“Kepada yang cedera, saya harap mereka akan cepat sembuh,” ujarnya.

Dalam pada itu, Izhar Zulhisham berharap sumbangan yang diterima bukan sahaja dapat meringankan beban keluarga-keluarga mangsa terbabit, tetapi juga membantu dalam pengurusan harian.

“Mewakili TUDM, untuk pengetahuan, siasatan berhubung kejadian tersebut sedang diteruskan dan berharap dapat penyelesaian segera,” jelas beliau.

Reaksi Ahli Keluarga:

“Terima kasih kepada CM (Ketua Menteri) dan Kerajaan Negeri kerana menghargai pengorbanan satu-satunya anak
lelaki dalam keluarga saya.

“Pemergiannya pasti dirasai dan kami sekeluarga terpaksa akur untuk meneruskan kehidupan demi masa depan anak-anak Kayamboo” – M. CHELLAM, bapa mendiang.

“Anak sulung saya K. Indiran (13) juga ingin jadi juruterbang seperti bapanya dan saya tidak pernah halang untuk dia teruskan cita-citanya itu” – S. USHA, balu mendiang.

“Sebagai seorang ayah, pastinya saya terkejut apabila mendapat panggilan daripada TUDM kira-kira sejam selepas
kejadian.

“Memang rasa perasaan tidak tenteram sampailah kami sekeluarga mendengar sendiri suara dia melalui panggilan
telefon. Alhamdulillah, segalanya selamat…dia cuma mengalami trauma dan sedikit kecederaan ringan di kepala,” – AHMAD HANAFI TALIB, ayah kepada Leftenan Hamdi Ahmad Hanafi.

“Abang masih menerima rawatan di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (Kuala Lumpur) untuk pembedahan
memasukkan besi di bahagian kaki kanan.

“Selain daripada itu, abang baik-baik sahaja, alhamdulillah, dia pun menunjukkan reaksi positif. Cuma dia masih trauma. Walaupun sebelum ini abang pernah cedera semasa bertugas, tapi insiden kali ini lebih dahsyat,” – SYUKRIAH AZIZAH, adik kepada Sarjan Mohd. Sofi Azizan.

“Anak saya sekarang sudah boleh makan, boleh cakap dan doktor menjangkakan dia perlu menjalani satu lagi pembedahan untuk mencantumkan semula kulit kerana dia melecur hampir 10 peratus.

“Sebagai bapa, pastinya saya harap dia dapat pulang ke rumah untuk sambut Tahun Baru Cina bersama-sama ahli keluarga,” – WAI KAM SUI, bapa kepada Kapten Wai Lik.