Fitnah terhadap KM & KN, laporan polis dibuat

GEORGE TOWN – Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa supaya segera menyiasat satu mesej diviralkan menerusi aplikasi WhatsApp yang memfitnah Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dan Kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang kononnya berhasrat menutup Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Pegawai Penerangan Ketua Menteri, Zaidi Ahmad membuat gesaan sedemikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di sini baru-baru ini.

“Pihak polis mahukan dua orang saksi sokongan dan kita tiada masalah untuk itu kerana kita sudah ada dua saksi, termasuk saya sendiri.

“Kita juga punyai bukti kukuh seperti nombor penyebar, jadi saya percaya polis dapat mengesan suspek yang dipercaya menyebarkan fitnah ini pada kadar secepat mungkin,“ katanya selepas selesai membuat laporan di Balai Polis Jalan Patani.

Hadir sama, Pegawai Khas & Penyelaras Agenda Ekonomi Saksama (AES), Ab. Wahab Long.

Pada 1 Januari lalu, WhatsApp fitnah yang turut memaparkan wajah Guan Eng tersebut antara lain menyebut:

“Pakatan akan tutup Mara. Kita akan tutup segala entiti berkait MARA selagi ia tidak terbuka untuk semua kaum itu janji saya untuk Kerajaan di bawah Pakatan”