Usul isu perumahan dipersetujui bersama, Exco harap Jahara tidak tarik balik

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berharap Ketua Pembangkang Pulau Pinang, Datuk Jahara Hamid tidak menarik balik usul bersama yang dipersetujui pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) November lalu berhubung masalah perumahan yang dihadapi di negeri ini.

Ujar Jagdeep, usul bersama yang bukan sahaja dipersetujui oleh Jahara, malah juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Datuk Wira Sr. Muhamad Farid Saad (pada sidang DUN baru-baru) perlu dipersetujui supaya masalah berhubung perumahan di Pulau Pinang dapat diselesaikan demi kepentingan rakyat.

“Usul bersama ini bukanlah isu politik dan tidak seharusnya dipolitikkan memandangkan ia (usul bersama) melibatkan kepentingan rakyat Pulau Pinang, khususnya.

“Saya harap beliau (Jahara) tidak menarik balik usul yang dipersetujui sebelum ini,” katanya ketika diminta mengulas mengenai perkembangan usul bersama yang telah dibentangkan dalam Mesyuarat Exco pada 21 Disember lalu.

Jelas Jagdeep, pada 21 Disember lalu, melalui Mesyuarat Exco, ahli-ahli mesyuarat telah bersetuju supaya Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus mendrafkan semula usul tersebut.

“Usul tersebut telahpun didrafkan semula dan dihantar kepada Ketua Pembangkang dua hari lalu (28 Disember) dan ditandatangani oleh Dato’ Seri Farizan,” jelasnya yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Pembersihan dan Peningkatan Mutu Pemilihan Perumahan (SPEC).

Terdahulu, pada 15 Disember lalu, Jagdeep memaklumkan bahawa beliau akan membentangkan usul bersama yang telah dipersetujui oleh Kerajaan Negeri dan Ketua Pembangkang berhubung isu perumahan di Pulau Pinang dalam Mesyuarat Exco.

Usul bersama yang dipersetujui itu, kemudiannya akan dihantar kepada Kerajaan Persekutuan setelah dipersetujui oleh semua pihak yang mengemukakan usul tersebut, yakni Kerajaan Negeri dan Ketua Pembangkang.

Dua isu induk yang dibangkitkan adalah:
a. Kerajaan Persekutuan dan Bank Negara Malaysia (BNM) perlu segera menangani permasalahan kadar penolakan permohonan pinjaman bank oleh pembeli rumah mampu milik (RMM) terutama Jenis A (kos rendah) dan Jenis B (kos sederhana rendah).
b. Kerajaan Persekutuan disarankan supaya menyemak semula perundangan bagi membenarkan mana-mana Kerajaan Negeri di Malaysia mengambil tindakan terhadap pemilik RMM Jenis A dan Jenis B yang menyewakan unit rumah mereka kepada orang ketiga termasuk warga asing.}