Flat Sri Tanjung bakal berubah wajah

Admin
rpt

DATUK KERAMAT – Flat Sri Tanjung setinggi lapan tingkat di Jalan Perak akan dicat semula bagi menceriakan kawasan kediaman bertingkat itu.

 

Exco Kerajaan Tempatan, Perumhan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, kerja-kerja pengecatan semula bangunan kediaman kos sederhana rendah itu akan dilakukan dalam tempoh terdekat ini.

 

“Kontraktor berwajib telahpun dilantik dan kerja-kerja pengecatan semula akan dilakukan dalam tempoh terdekat setelah para penduduk mencapai kata sepakat untuk memilih salah satu daripada lima cadangan skim warna yang ada.

 

“Jumlah kos keseluruhan pengecatan semula ini adalah sebanyak RM119,800 yang mana Kerajaan Negeri melalui Tabung Penyelenggaraan Maksima 80 Peratus Pulau Pinang (TPM80PP) akan menanggung 20 peratus daripada kos keseluruhan.

 

“Manakala, sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan ini, saya memperuntukkan perbelanjaan 40 peratus daripada kos terbabit dan baki 40 peratus lagi ditanggung oleh penduduk melalui perbadanan pengurusan di sini,” katanya ketika mengumumkan perkara tersebut, semalam.

 

Hadir sama, Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N. Rayer; Pengerusi Perbadanan Pengurusan Flat Sri Tanjung, Lim Seng Kah; wakil-wakil daripada Bahagian Perumahan Kerajaan Negeri, kontraktor berwajib dan penduduk setempat.

JAGDEEP Singh Deo (kiri sekali) meneliti carta cadangan skim warna bagi kerja-kerja pengecatan semula Flat Sri Tanjung.

Menurut Jagdeep, Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa prihatin dalam membantu skim-skim perumahan yang layak dalam melakukan penyelenggaraan.

 

“Sejak tahun 2013 sehingga September 2018, 176 permohonan di bawah TPM80PP diluluskan dengan kos RM25.6 juta melibatkan sebanyak 292 projek pelbagai jenis.

 

“Jumlah projek ini termasuk 45 projek yang asalnya memohon dana melalui Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia (TP1M) dengan jumlah sebanyak RM3.8 juta membabitkan kerja-kerja penukaran bumbung, lif dan tangki air yang merupakan kerja-kerja kritikal.

 

“Sebab itu, sejak Pakatan Harapan sudah mengambil alih pentadbiran di peringkat Persekutuan, saya syorkan agar Kerajaan Persekutuan dapat mempertimbangkan kelulusan baki permohonan tertunggak di bawah TP1M bagi negeri Pulau Pinang.

 

“Perkara ini, akan disuarakan kepada Menteri berwajib dalam siri pertemuan pada Oktober ini,” jelasnya.

 

Dalam perkembangan sama, Jagdeep turut menyeru agar semua penghuni di rumah pangsa atau kediaman bertingkat di negeri ini supaya membayar caj penyelenggaraan bulanan demi kesejahteraan dan keselesaan semua.

 

“Kita perlu menyemai kefahaman betapa pentingnya membayar caj penyelenggaraan bulanan, kerana apabila perlunya penyelenggaraan atau pembaikan dilaksanakan, maka pihak pengurusan tidak perlu gusar lagi untuk mencari dana bagi menampung kos.

 

“Oleh itu, contohi Flat Sri Tanjung kerana 40 peratus kos pengecatan ini dibiayai melalui perbadanan pengurusan dan sebelum ini mereka juga mengeluarkan sebahagian kos menukar tangki air di sini,” katanya.

 

Difahamkan, kerja-kerja pengecatan semula akan sempurna sebelum menjelangnya tahun baru 2019.

 

Teks & Gambar : AINUL WARDAH SOHILLI