Flextronics langsung CSR pelihara Sungai Junjong Mati

Admin

Oleh: MOHD. HAFIZ TAJUDIN

BUKIT MERTAJAM – Syarikat pembuatan elektronik terkemuka, Flextronics Technology (Penang) Sdn. Bhd. (Flextronics) melalui program tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) dengan kerjasama Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) bertindak memulihara Sungai Junjong Mati di sini baru-baru ini.

Inisiatif tersebut dijalankan bersama 19 buah kilang lain di kawasan sama.

Menurut Pengurus Besar Flextronics, P. Viswanathan, penglibatan pihaknya dalam aktiviti CSR ini adalah bagi menerapkan kepentingan memelihara alam sekitar terutama Sungai Junjong Mati dalam kalangan para pekerjanya.

“Kesedaran akan pentingnya aktiviti pemuliharaan alam sekitar di Flextronics adalah bermula dari kantin kilang melalui inisiatif kitar semula minyak masak kepada pembuatan sabun dan sisa buangan seperti kulit buah untuk dijadikan baja kompos.

“Aspek yang penting sekali adalah bagaimana kita (pihak pengurusan) perlu mengubah mentaliti para pekerja supaya tanggungjawab memulihara dan memelihara sungai turut menjadi sebahagian daripada tanggungjawab masing-masing,” katanya pada Majlis Perasmian Projek Pemulihan Kualiti Air Sungai Junjong Mati di Kilang Flextronics P2, Bukit Minyak di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Yang Dipertua MPSP, Maimunah Mohd. Sharif.

Aktiviti melontar bebola lumpur dan pelepasan anak ikan tilapia turut dijalankan pada majlis berkenaan.

Dalam pada itu, Maimunah memberitahu, dengan penglibatan semua pihak iaitu kilang-kilang di sekitar dalam program dirancang, Sungai Junjong Mati mampu pulih dalam lingkungan tempoh dua tahun.

“Pihak MPSP di bawah Unit Landskap akan turut membantu memperindahkan lagi kawasan tepi sungai ini melalui penanaman pokok renek dan tumbuhan lain yang bersesuaian,’’ ujar beliau.