FMM Pulau Pinang pergiat pengesanan awal, saringan pekerja sektor pembuatan

Admin

DARI tempoh 22 hingga 29 Mei lalu, kira-kira 900 pekerja dari sembilan syarikat dalam sektor pembuatan di Pulau Pinang telahpun menjalani pemeriksaan pengesanan COVID-19 secara besar-besaran.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Pengerusi Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) Pulau Pinang, Datuk Jimmy Ong ketika dihubungi Buletin Mutiara hari ini.

Menurut beliau, pengesanan awal secara besar-besaran tersebut penting untuk mengelakkan kelompok kluster baharu muncul dalam kalangan pekerja industri berkaitan.

Katanya, pihak FMM berjaya mengesan mereka yang dijangkiti dan mengambil langkah awal sebelum ianya menjadi kelompok penularan yang lebih besar.

“Pada 18 Mei 2021, Program Penang SAFE iaitu kolaborasi di antara Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan FMM Pulau Pinang telahpun mendapat kebenaran daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk meningkatkan pemeriksaan saringan COVID-19 di kalangan pekerja dalam sektor pembuatan dengan menggunakan kaedah ujian RT-PCR (reverse transcription polymerase chain reaction) iaitu dengan menggunakan sampel air liur daripada tekak sebagai ganti kepada sampel swab hidung,” ujarnya sambil memaklumkan bahawa Program Penang SAFE berkenaan telah dilancarkan pada 22 Mei setelah memperoleh kebenaran berkaitan daripada KKM.

Mengulas lanjut, Jimmy mendorong agar para syarikat industri melakukan ujian saringan menggunakan kaedah ujian pengumpulan tersebut yang disifatkannya lebih menjimatkan kos.

“Pekerja yang bekerja di jabatan yang sama atau menggunakan pengangkutan yang sama boleh dikelompokkan bersama-sama, di mana sampel air liur tersebut dikelompokkkan untuk menjalankan ujian secara berkumpulan.

“Sekiranya terdapat sampel dalam ‘kumpulan’ ini yang positif, setiap individu dalam kumpulan (yang positif) tersebut akan diuji.

“Justeru, syarikat industri boleh menyaring semua pekerjanya pada ujian pertama dan untuk pusingan kedua dan seterusnya, mereka hanya perlu melakukannya saringan untuk 20 peratus pekerja untuk tempoh setiap dua minggu.

“Program Penang SAFE ini perlu diteruskan sehingga kelompok imuniti dicapai,” tegas beliau.

Difahamkan bahawa terdapat lebih 300,000 pekerja di sektor pembuatan.

Beliau dalam pada itu, mengucapkan terima kasih kepada makmal dan klinik berkaitan yang bersama-sama menjayakan inisiatif ini.

“Pemeriksaan berterusan perlu dilakukan meskipun kini telah ada vaksin COVID-19.

“Malah, kita (FMM) turut mengadakan tinjauan dalam sektor industri yang telah berakhir pada 20 Mei lalu bagi mengetahui mereka yang berminat untuk divaksinasi.

“Hasilnya, kira-kira 35,000 pekerja telah menyatakan minat mereka untuk divaksinasi pada peringkat pertama.

“Dengan ini, FMM dapat mengkoordinasikan pekerja industri pembuatan untuk menjadi sebahagian daripada program vaksin COVID-19 yang telah dicadangkan untuk diberikan kepada economic frontliners,” maklum beliau.

Sebagai respons kepada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh yang akan bermula esok (1 Jun) sehingga 14 Jun nanti, Jimmy memaklumkan syarikat pembuatan di Pulau Pinang yang terletak di bawah tanggungjawab Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) tidak mengalami kesukaran untuk mendapatkan kelulusan beroperasi pada tempoh tersebut.

“Kita memahami keperluan PKP penuh ini dan kapasiti 60 peratus yang dibenarkan sahaja… setiap industri perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat untuk mengekang penularan COVID-19 ini,” tambahnya.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF