Fokus 100 hari Rashid Hasnon

Admin

APABILA bekas Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman mengambil pendirian untuk bertanding di Parlimen Nibong Tebal sahaja pada musim Pilihan  Raya Umum Ke-13 (PRU13), namanya  mula meniti di bibir rakyat Pulau Pinang.

Beliau pernah menjadi Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dari tahun 2011 hingga tahun 2013.

Beliau dikenali sebagai profesional Islamis dalam kalangan rakan-rakan karib.

15 tahun sebagai Pengurus Kanan di sektor korporat ASE serta lima tahun berkhidmat sebagai Jurutera di PERNAS NEC menyerlahkan bahawa beliau seorang yang berpengalaman dalam dunia perindustrian.

Tidak cukup dengan itu, beliau pernah diberi tanggungjawab menguruskan seksyen pengurusan bagi Kilang Motorola Electronic selama lima tahun.

Malah, beliau pernah diberi kepercayaan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di syarikat korporat Data Ulung Sdn. Bhd..

Selain itu, kewibawaannya turut dilihat  dalam dunia gerakan badan bukan kerajaan (NGO) yang berlatarbelakangkan Islam.

Selama lapan tahun bermula pada tahun 2000, beliau pernah menjadi Yang Dipertua Jamaah Islah Malaysia (JIM) Pulau Pinang  (kini dikenali sebagai IKRAM Malaysia).

Dalam tempoh yang sama, iaitu dari tahun 2008 hingga 2012, aktivis berkenaan masih diberi taklifan sebagai Ahli Jawatankuasa JIM Pusat.

Paling menarik, sepanjang berkecimpung dalam pergerakan dakwah, beliau pernah menyertai misi kemanusiaan sedunia ke wilayah bergolak Gaza, Palestin. Dalam pilihan raya umum lepas, beliau diberi tanggungjawab untuk mempertahan kemenangan bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Jerejak yang pernah disandang oleh Sim Tze Tzin (kini bergelar Ahli Parlimen Bayan Baru).

Apabila mendapat tahu bahawa beliau  menang dengan 5,354 undi majoriti, tidak salah lagi Mohd. Rashid Hasnon, 53, dipinang menjadi Timbalan Ketua Menteri I yang baru.

Mohd Rashid mendapat 11,805 undi dengan menewaskan pencabarnya dari parti pembangkang, Wong Mun Hoe yang mendapat 6,451 undi sahaja. Dalam wawancara eksklusif bersamasama wartawan Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB, Mohd. Rashid berkongsi wawasan 100 hari  menjadi orang nombor dua dalam Kerajaan Negeri Pulau Pinang sejak mengangkat sumpah pada 9 Mei lepas.

Dalam 100 hari ini, beliau bercadang untuk turun dan dengar perkongsian akar  umbi rakyat, khususnya yang berkaitan dengan portfolio Exco yang ditaklifkan  kepadanya.

Mohd. Rashid diberi amanah sebagai Pengerusi Tetap Jawatankuasa Pembangunan Industri Perdagangan Antarabangsa, Koperasi & Perhubungan dan Pembangunan Keusahawanan.

“Ada beberapa isu berbangkit yang perlu diselesaikan dalam 100 hari ini dan saya cuba untuk turun dan dengar semua hal berwajib itu.

“Jika Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng diharap menjadi Ketua Menteri untuk seluruh rakyat Pulau Pinang, sebagai Timbalan Ketua Menteri I kepada beliau, tentulah saya juga diharap menjadi pemimpin Melayu nombor satu yang boleh mengukuhkan kepemimpinan Kerajaan Negeri ini,” ujar beliau di Komtar, George Town baru-baru ini.

Justeru, katanya, segala permasalahan rakyat, khususnya mengenai kepentingan Melayu wajar mendapat perhatian daripadanya.
Itu, katanya lagi, termasuk projek pelabuhan antarabangsa tuna di Batu Maung dekat Parlimen Bayan baru yang dilaporkan terbengkalai serta dianggap merugikan nelayan pantai, termasuk Melayu.

“Sepatutnya warga Batu Maung paling banyak mendapat manfaat daripada projek asal Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) yang bernilai RM243.38 bilion di bawah Kerajaan Pusat, tetapi, terbengkalai sehingga kini,” ujar beliau.

Difahamkan, projek tersebut diserahkan kepada syarikat konsesi Malaysia International Tuna Port Sdn. Bhd. (MITP) semasa Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri  Muhyiddin Yassin masih berjawat jawatan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

Perjanjian konsesi sejak 32 tahun di atas sebidang tanah seluas 20 hektar itu sehingga hari ini dianggap terbengkalai.

“Kalau nak selesaikan projek ini, inilah masanya (selepas PRU13). Saya akan mencari jalan untuk berbincang dengan Kerajaan Pusat supaya projek ini boleh  diteruskan,” ujar beliau.

Beliau berkata, kolaborasi dengan beberapa Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) seperti Dr. Afif Bahardin (Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan) dan Datuk Abdul Malik Abul Kassim (Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) boleh mengukuhkan inisiatif Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat bagi menyelesaikan beberapa projek terbengkalai di negeri berkenaan.

PACU FDI


Mohd. Rashid mengakui bahawa rekod pelaburan asing langsung (FDI) selama lima tahun lepas yang berjumlah kira-kira RM38 bilion ternyata memberi saingan terhadap dirinya untuk lima tahun mendatang.

Pulau Pinang pernah mencatatkan FDI tertinggi pada tahun 2010, iaitu sebanyak RM12.2 bilion. Manakala, pada tahun berikutnya berjumlah RM9.1 bilion. Maka, beliau secara peribadi berharap pengalamannya dalam industri boleh membantu kepemimpin Guan Eng untuk terus meletakkan Pulau Pinang sebagai destinasi pelaburan terbaik di rantau ini.

“Selama 30 tahun ini, memang saya  menceburi bidang perindustrian. Ia tentunya berkait rapat dengan FDI.

“Saya tahu dua tahun belakangan ini, walaupun ada telahan mengatakan bahawa FDI kita (Pulau Pinang) akan merudum, tetapi, keseluruhan FDI selama lima tahun lepas menunjukkan kita (Kerajaan Negeri) adalah terbaik di Malaysia.

“Saya sedang tekun memikir bagaimana ia boleh menghubung (menjadi kesinambungan) serta memberi manfaat kepada rakyat di negeri ini,” ujar beliau.

PENGANGGURAN DAN  KESTABILAN

Mohd. Rashid berkata, rekod FDI yang baik seharusnya memberi manfaat kepada Kerajaan Negeri dan rakyat terbanyak di Pulau Pinang.

Justeru, beliau cuba mendekati masalah pengangguran khususnya membabitkan anak muda lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menurut beliau, guna tenaga kumpulan berkenaan perlu ditingkatkan dengan  kemahiran lanjutan supaya tidak berlaku penguncupan sumber manusia dalam sektor industri apabila diperlukan kelak.

“Benda (peluang pekerjaaan) itu merupakan satu kestabilan. Kalau kadar pengangguran tinggi, ertinya kurang stabil.

Jadi, kita nak pastikan bahawa kadar pengangguran di bawah 1 peratus daripada rakyat (1.611 juta).

“Fokus saya secara umum pada kestabilan industri. Selain itu, saya memikir untuk menangani kebanjiran guna tenaga warga asing di negeri ini kerana ia memberi impak berantai pada pengaliran keluar wang negara, umpamanya.

“Ini tidak baik bagi sebuah negara dan negeri juga. Mungkin perlu direalisasikan polisi gaji minima yang lebih menguntungkan pekerja tempatan.

“Di MPSP, kita memulakan pengambilan semula pekerja tempatan selepas menangguhkan penswastaan beberapa sektor berkaitan MPSP.

“Kita lihat pengambilan warga asing sebagai buruh rendah walaupun baik untuk majikan kerana upah yang rendah, susah untuk sebuah kerajaan mengawal sosialisasi mereka di negeri ini.

“(Ekoran itu,) dalam peringkat operator umpamanya, mungkin perlu meningkatkan pengambilan pekerja tempatan lebih 50 peratus (bagi menggantikan pekerja asing kelak).

“Kita tak boleh mendapat tenaga separa  mahir sebagaimana guna tenaga dari negara-negara jiran seperti dari Indonesia (jika diperlukan nanti).

“Untuk memenuhi keperluan 50 peratus tenaga separa mahir tempatan ini, sudah tentulah memerlukan guna tenaga baru (termasuk) lepasan SPM yang dididik dengan kemahiran (lanjutan) sesudah meninggalkan dunia persekolahan. Di sinilah kepentingannya,” ujar beliau.

Bersambung di Buletin Mutiara
edisi 1 – 15 Jun 2013.