Program penghargaan RM100 warga emas diteruskan

Admin

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF & ZAINULFAQAR YAACOB

PULAU TIKUS – Warga emas yang menerima sumbangan penghargaan RM100 daripada Kerajaan Negeri sejurus pentadbiran Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng diberi mandat semula di negeri berkenaan baru-baru ini rata-ratanya melahirkan rasa gembira dan syukur.

Noorjahan Sultan, 64, antara warga emas berdaftar yang melahirkan rasa gembira dengan inisiatif kebajikan tersebut.

“Terima kasih banyak-banyak kepada Kerajaan Negeri.

“Duit ini boleh lah makcik beli ubat dan tampung perbelanjaan dapur sikit sebanyak walaupun terima setahun sekali,” ujar beliau semasa ditemui di pusat pemberian sumbangan di Maybank Cawangan Pulau Tikus di sini baru-baru ini.

Katanya, beliau telahpun menerima sumbangan RM100 masuk tahun ketiga sejak program itu diperkenal pada tahun 2010.

Nada yang sama turut disuarakan oleh N.M.Sellamah, 66, yang ditemui di pusat pemberian sumbangan sama.

Warga emas berdaftar itu berkata, beliau sudah dua kali menerima sumbangan RM100 daripada Kerajaan Negeri.

“Saya tinggal bersama suami sahaja. Suami pun dah tak bekerja kerana tidak sihat.

“Sumbangan ini sangat bermakna buat kami…(untuk) guna beli keperluan rumah,” ujar beliau sebak gembira.

Majlis Sumbangan RM100 Kepada Warga Emas Peringkat Daerah Timur Laut itu dirasmi oleh Guan Eng.

Guan Eng semasa berucap melahirkan rasa gembira kerana program sumbangan yang nyata menguntungkan rakyat itu berjaya diteruskan sesegera mungkin selepas selesainya musim Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Menurut beliau, tadbir urus Kerajaan Negeri secara Cekap, Akauntabel dan Telus (CAT) tanpa rasuah sejak penggal pentadbiran lepas ternyata menguntungkan rakyat.

“ Apabila PR (Pakatan Rakyat) menang, bantuan ini diteruskan. Rakyat nampak gembira apabila hak mereka diperkasakan.

“Ini (program sumbangan emas) adalah usaha untuk memastikan ‘dividen antirasuah’ sejak lima tahun lalu diteruskan secara langsung kepada rakyat supaya rakyat lebih gembira dan ceria,” ujar beliau.

Dalam perkembangan sama, majlis pemberian sumbangan RM100 kepada warga emas yang sama turut dilangsungkan peringkat Daerah Seberang Perai Utara (SPU) baru-baru ini.