Fokus KN sedia rumah rakyat

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Exco Perancang Bandar dan Desa, Perumahan dan Kesenian Negeri melahirkan rasa kecewa ekoran pengumuman kerajaan persekutuan Barisan Nasional (BN) bahawa Pulau Pinang hanya bakal memperoleh 70 unit atau 0.35 peratus daripada jumlah 20,454 unit rumah mampu milik yang akan dibina di seluruh negara menerusi Belanjawan 2013 baru-baru ini.

Exco terbabit, Wong Hon Wai berkata, hal ini jelas menunjukkan betapa kecilnya komitmen BN terhadap negeri Pulau Pinang.

Sebaliknya, beliau memberitahu, Kerajaan Negeri (KN) meletakkan sepenuh perhatian berhubung inisiatif menyediakan keperluan perumahan kepada rakyat terutamanya dalam kategori rumah kos rendah dan mampu milik.

“Antaranya, Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) telah memperuntukkan RM500 juta bagi merealisasikan Skim Perumahan Mampu Milik.

“Malah, kita (Kerajaan Negeri) juga mempunyai pelan untuk membangunkan 18,000 unit rumah mampu milik di bahagian pulau dan Seberang Perai antaranya di Jalan S.P. Chelliah (George Town), Teluk Kumbar (Daerah Barat Daya), Ampang Jajar (Seberang Perai Utara), Bukit Mertajam (Seberang Perai Tengah) dan Batu Kawan (Seberang Perai Selatan),’’ katanya dalam satu kenyataan di sini pada 4 Disember lalu.

Menurutnya, sejak 8 Mac 2008 hingga 31 Julai lalu, sebanyak 14,702 unit rumah kos rendah dan sederhana rendah telah memperoleh sijil kelayakan menduduki (OC) dikeluarkan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dengan membabitkan 47 buah projek di seluruh negeri.

“Ini termasuk, Halaman Kenanga (Daerah Timur Laut), Taman Ampang Jajar (Seberang Perai Utara) dan Sri Saujana (Daerah Timur Laut).

“Malah, KN turut memainkan peranan berhubung projek di pangsapuri lima tingkat Desa Nipah (Balik Pulau) dengan membolehkan harga jualan mampu beli oleh rakyat iaitu RM35,000 seunit. Di Taman Sungai Duri Permai, Seberang Perai, skim berbentuk landed town house, RM38,000 seunit,” jelas beliau.

Hon Wai memberitahu, bagi bekalan masa depan, sebanyak 15,246 unit rumah kos rendah dan sederhana rendah telah memperoleh kelulusan merancang sejak 8 Mac 2008 hingga 31 Julai lalu. Ia adalah membabitkan 62 projek yang kini dalam pelbagai peringkat kelulusan dan proses pembinaan.

Dalam pada itu, bagi kategori unit sewaan, Kerajaan Negeri telah membaikpulih unit-unit diabaikan BN sebelum ini. Terdapat 170 unit di Rumah Pangsa Padang Tembak yang telah dibiarkan kosong selama 10 tahun semasa pemerintahan BN. Unit-unit tersebut terbiar dan menjadi kosong selepas askar- askar berpindah keluar dari hostel masing-masing di Blok E dan Blok J Rumah Pangsa Padang Tembak pada akhir tahun 1990-an.

“Lajutan itu, Kerajaan Negeri telah mengambil inisiatif membaiki unit-unit terbabit dan menyewakannya kepada 170 keluarga memerlukan dengan harga sewaan rendah sebanyak RM90 sebulan.

“Malah, kita (KN) juga mengubahsuai 40 unit kuarters kerajaan di Taman Pelangi, George Town untuk disewa kepada kumpulan tidak berkemampuan. Di Desa Wawasan, Seberang Perai Tengah, KN telah memperuntukkan bajet untuk membaiki 120 unit tidak berpenghuni bagi keperluan keluarga memerlukan,’’ jelasya.

Di samping itu, Hon Wai menyatakan bahawa KN turut memberi sepenuh perhatian dalam usaha menghidupkan semula projekprojek perumahan terbengkalai dalam tempoh lebih 10 tahun di bawah pentadbiran BN sebelum ini.

“Sehingga kini, KN telah menghidupkan semula projek-projek Taman Cemerlang (Bandar Baru Air Itam), Fettes Villa di Mount Erskine, Taman Telok Air Tawar (Seberang Perai Utara) dan Taman Pekatra (Seberang Perai Selatan).

“Baru-baru ini, saya juga telah mengadakan lawatan ke lokasi projek perumahan terbengkalai (sebelum ini) Desa Aman, Relau yang mana usaha pembinaan dalam menghidupkan semula projek terbengkalai telah hampir ke penghujung bagi merealisasikan impian para pembeli yang sudah menunggu selama 12 tahun,’’ kata Hon Wai.

BEBERAPA penduduk memerhatikan wajah baru Flat Kampung Melayu, Air Itam yang siap dicat semula dan dinaiktaraf hasil inisiatif khas Kerajaan Negeri di sini baru-baru ini. Berita di muka surat 4. Gambar oleh Law Suun Ting.
BEBERAPA penduduk memerhatikan wajah baru Flat Kampung Melayu, Air
Itam yang siap dicat semula dan dinaiktaraf hasil inisiatif khas Kerajaan Negeri
di sini baru-baru ini. Berita di muka surat 4. Gambar oleh Law Suun Ting.