Formula agihan kerusi PRN Pulau Pinang terserah kepada rundingan Pengerusi Negeri – Ahmad Zahid

AHMAD Zahid Hamidi (kanan sekali) diiringi Ketua Menteri (dua dari kanan) dan beberapa pemimpin lain menyampaikan cek replika sumbangan bantuan peralatan kepada salah seorang penerima, selepas acara perasmian Majlis Santunan Kasih Ramadan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Peringkat Negeri Pulau Pinang di perkarangan hadapan Masjid Jamek Al-Islah Pokok Tambang di sini pada 26 Mac 2023.

SUNGAI DUA – Timbalan Perdana Menteri I, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berharap ‘Kerajaan Perpaduan’ turut wujud secara tidak langsung di negeri Pulau Pinang sekurang-kurangnya lima tahun, sebagaimana telah terbentuk peringkat Putrajaya pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lepas.

AHMAD Zahid Hamidi

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian semasa merasmikan Majlis Santunan Kasih Ramadan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Peringkat Negeri Pulau Pinang yang turut dihadiri Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow di perkarangan hadapan Masjid Jamek Al-Islam Pokok Tambang dekat Kawasan Parlimen Tasek Gelugor di sini pada 26 Mac 2023.

Menurut beliau, program Santunan Kasih yang dianjurkan oleh Kementerian turut akan diperluaskan pada peringkat parlimen seluruh negara demi menyuburkan semangat keserasian sesama rakyat berbilang kaum tanpa mengira bangsa mahupun ideologi politik kepartian.

“Jika berlaku Pilihan Raya Negeri (PRN), maka UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan menawarkan huluran persahabatan dengan (Pakatan Harapan yang merupakan gabungan parti pemerintah) Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

“Saya harap jalinan (kasih) ini dapat diteruskan sekurang-kurangnya lima tahun (sehingga habis penggal pentadbiran PRU15),” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, Perak.

Di samping itu, Ahmad Zahid berharap Majlis Santunan Kasih Ramadan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) pada hari ini turut menjadi wadah untuk kakitangan kerajaan dan ejen-ejen politik dalam gabungan parti pemerintah ‘Kerajaan Perpaduan’ untuk saling menyemarakkan semangat keserasian pada peringkat akar umbi.

Selain Kon Yeow, turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir dan ketua-ketua jabatan persekutuan dan negeri.

SUASANA sambutan penduduk tempatan pada kehadiran Timbalan Perdana Menteri I dan Ketua Menteri dalan majlis berkaitan di sini pada petang tadi.

Serentak pada majlis sama, Ahmad Zahid diiringi Kon Yeow turut menyampaikan bantuan sumbangan kepada asnaf terpilih, ibu tunggal, anak yatim dan pelajar hufaz.

SIDANG media Timbalan Perdana Menteri 1 dan Ketua Menteri Pulau Pinang selepas acara perasmian majlis berkaitan di sini tadi.

Dalam sidang media bersama-sama Kon Yeow selepas itu, Ahmad Zahid memberitahu bahawa sehingga kini, Sekretariat Kerajaan Perpaduan yang melibatkan BN, Pakatan Harapan (PH) dan semua parti gabungan lain telah mengadakan dua kali mesyuarat demi menyemarakkan semangat keserasian dalam Kerajaan Perpaduan peringkat nasional di bawah pentadbiran Perdana Menteri Y.A.B. Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Ahmad Zahid lagi pada 14 Mei 2023 akan diadakan Konvesyen Kerajaan Perpaduan di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Ini, merupakan konvensyen kali yang pertama selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan (peringkat nasional),” ujarnya lanjut.

Menjawab soalan pemberita selepas itu, Ahmad Zahid memberitahu bahawa formula pengagihan kerusi sempena PRN Pulau Pinang adalah terserah kepada perundingan antara pihak Kon Yeow selalu Pengerusi Pakatan Harapan Negeri Pulau Pinang dan Musa (Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang).

“Kami (dalam Sekretariat Perpaduan) peringkat nasional hanya akan membincangkan perkara dasar dan formula nak menang Pilihan Raya Negeri,” respons beliau lagi.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR