Gagal sekali tidak bermakna gagal selamanya, Ba’en bangkit berniaga ‘Ayaq Gajah’ 

Admin

SUATU ketika dulu tular mengenai kedai makan yang menjual aneka lauk pauk, nasi briyani dan pelbagai jenis minuman hanya pada harga 10 sen.

 

Tidak cuma itu, pelanggan juga tidak putus-putus berkunjung ke kedai dikenali sebagai Ba’en Cafe yang terletak di Balik Pulau dek keistimewaannya yang menjual dengan harga murah serta sifatnya yang murah hati sering bersedekah.

 

Wartawan Buletin Mutiara, NUR ASHIKIN ISMAIL bersama-sama jurugambar, ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI berkesempatan menemui pemilik Ba’en Cafe iaitu IBRAHIM ABDUL RAHIM, 40 yang sudi berkongsi kisahnya.

 

Lebih mesra disapa Ba’en, dia hanya berniaga air bungkus di tepi jalan dekat Teluk Bahang hampir dua tahun selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik.

 

Disebabkan PKP, perniagaannya jatuh merudum dan tidak boleh diselamatkan lagi lalu Ba’en membuat keputusan untuk menutup terus kedai makannya itu.

 

“Saya memulakan perniagaan tanpa ada pengetahuan dan pengalaman yang cukup, itu merupakan punca utama kegagalan saya dalam berniaga.

 

“Sungguhpun begitu, saya tetap menerima ujian ini dan menganggap ada hikmah di sebalik setiap kejadian itu, saya cuma perlu usaha lebih lagi dan tidak berputus asa,” luahnya sambil menjadikan cabaran lalu sebagai pembakar semangat dan dorongan untuk lebih maju.

 

Perjalanan Ba’en tidak terhenti di Balik Pulau, bahkan beliau memulakan perniagaan baru di kawasan Teluk Bahang iaitu menjual air bungkusan dalam pek besar dikenali sebagai ‘Ayaq Gajah’ dengan harga yang sangat berpatutan.

 

“Dek sekitar Balik Pulau ‘ayaq gajah’ ini tidak mendapat sambutan, saya beralih ke kawasan Teluk Bahang iaitu berdekatan rumah keluarga mentua saya dan hanya menjual dalam kereta Perodua Myvi kami.

 

“Pada ketika itu kami tidak mempunyai modal yang mencukupi dan terpaksa menjual dalam kereta, barang-barang seperti tong ais dan bancuhan semua diletakkan di dalam kereta,” ujarnya semasa menceritakan detik awal berniaga ‘ayaq gajah’.

 

ANTARA keratan akhbar yang membuat liputan mengenai perniagaan Ba’en yang tular.

Tulang belakang Ba’en sejak awal berniaga iaitu isteri tercinta, NURUL AIN MUSTAFA yang dahulunya seorang guru, turut serta membantu suaminya menjalankan perniagaan.

 

“Apa yang telah saya belajar melalui pengalaman berniaga dulu, saya tidak boleh mengambil pekerja asing untuk membantu di kedai, sebaliknya saya hanya mengupah isteri sendiri kerana lebih mudah begitu.

 

“Pekerja saya dahulu terlalu banyak menimbulkan masalah sehinggakan ingin bersaing berniaga, disebabkan itulah saya tidak mahu ambil risiko percayai orang luar,” kongsinya hampir kerugian RM20,000 kerana pekerjanya dahulu.

 

Ba’en turut berkongsi air yang dijual terdiri daripada dua saiz iaitu biasa dan ‘gajah’, manakala perisa yang sering menjadi kegemaran pelanggan ialah ‘blackcurrant susu’, ‘sunquick susu’, jagung dan sudah tentu teh tarik. 

 

Ditanya mengenai impian menambah cawangan, Ba’en berasa serik dan khuatir untuk mengambil risiko lagi, bahkan merasakan lebih selesa berniaga seperti sekarang.

 

“Dahulu semasa meniaga nasi, saya tidak mendapat sebarang pulangan yang kukuh, tetapi sekarang alhamdulilah walaupun berniaga air bungkus sahaja saya mampu untuk ada aset sendiri.

 

“Bukan itu sahaja, modal pulangan juga lebih banyak berbanding perniagaan dahulu serta boleh menyediakan wang simpanan,” ceritanya yang sedikit terkilan dan kesal kerana telah membuang masa dan kerugian selama 15 tahun berniaga.

BA’EN dan isterinya menjalankan perniagaan bersama-sama.

Keluarkan Produk Minuman 

 

Setiap peniaga pasti mempunyai visinya tersendiri untuk memperkenalkan produknya kepada orang ramai, begitu juga dengan Ba’en yang ingin mengeluarkan produknya sendiri.

 

“Saya dan isteri menyimpan angan-angan untuk membuat produk minuman dengan jenama sendiri kerana sambutan yang begitu meriah di sini.

 

“Walaupun sekarang hanya berniaga air di tepi jalan, saya mahu mencipta jenama yang berkelas dan terkenal di serata negeri inshaAllah, kerana saya tahu pelanggan di sekitar sini tidak gemar benda-benda viral seperti saya lakukan dulu, jadi saya akan berniaga seperti biasa sahaja,” ulasnya yang juga turut berkongsi ilmu dengan peniaga lain melalui platform Facebook.

 

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL

Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI