Galak anak-anak sertai kokurikulum, wujud ekosistem seimbang

Admin

PERAI – Ibu bapa dan institusi pendidikan perlu memainkan peranan dalam memberi sokongan dan galakan kepada anak-anak untuk bergiat cergas dalam aktiviti kokurikulum bagi memberi nilai tambah dan seterusnya membantu dalam mencapai kecemerlangan.

 

Ketua Menteri ‘Caretaker’, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow percaya bahawa momentum kecemerlangan berkaitan mampu dikekalkan dan dipertingkatkan lagi untuk mewujudkan ekosistem persekolahan yang seimbang serta lebih berdaya saing.

 

BARISAN jawatankuasa yang tidak melepaskan peluang bergambar kenangan bersama-sama Ketua Menteri.

 

“Misalnya, kejohanan yang diadakan pada hari ini, merupakan wadah penting dalam memupuk budaya bersukan dalam kalangan anak-anak kita bukan sahaja untuk kesihatan tetapi juga kehidupan berkualiti pada masa hadapan,” ujarnya.

 

Beliau berkata demikian ketika hadir merasmikan Kejohanan Olahraga Tahunan Kali Ke-32 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perai dekat sini pada 22 Julai 2023.

 

Hadir sama, Pengurus Besar Perbadanan Belia Pulau Pinang (PYDC), Dr. Gwee Sai Ling; wakil Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang; wakil Pejabat Pendidikan Daerah Seberang Perai Tengah; Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Perai, Roshannisa Che Kassim; pimpinan tempatan dan warga SMK Perai.

 

BACAAN ikrar kejohanan oleh wakil pelajar SMK Perai.

 

Dalam pada itu, menurut Kon Yeow, di Pulau Pinang, pembangunan sukan merupakan antara aspek yang diberikan perhatian penuh.

 

“Konsep ‘Sukan Untuk Semua’ dijadikan indikator bagi membudayakan sektor berkaitan dalam kehidupan seharian masyarakat di negeri ini.

 

“Kita (Kerajaan Negeri) percaya bahawa pendekatan sebegini penting dalam menyediakan kemudahan sukan serta rekreasi mampan demi masa hadapan negeri yang lebih berdaya tahan dan sihat.

 

“(Dan) dengan penyediaan kemudahan yang bermutu serta memenuhi kehendak rakyat, maka ia akan memacukan lagi sektor sukan berprestasi tinggi secara keseluruhannya,” jelasnya.

 

PASUKAN Alpha berpakaian seperti jerung mencuri tumpuan ramai.

 

Pada majlis sama, Kon Yeow turut mengumumkan bahawa pihaknya akan meneliti permintaan pihak SMK Perai dan mempertimbangkan bantuan peruntukan bagi membantu sekolah berkenaan dari segi kemudahan yang diperlukan.

 

Terdahulu, semasa berucap, Pengetua SMK Perai, V. Vijayaletchumi menzahirkan ucapan penghargaan kepada Kon Yeow atas kesudian melapangkan masa merasmikan kejohanan sekolah terbabit.

 

Difahamkan, ini merupakan kali pertama Kon Yeow hadir merasmikan kejohanan olahraga di sekolah sejak 15 tahun lalu.

 

Sebelum itu, Kon Yeow menyempurnakan gimik perasmian kejohanan dengan paluan gong sebanyak tiga kali. Uniknya, pemukul gong ‘diterbangkan’ di udara menggunakan dron.

 

PEMUKUL gong yang diterbangkan menggunakan dron sebagai gimik perasmian kejohanan.

 

Sebanyak empat rumah sukan bersaing dalam pelbagai kategori sukan antaranya larian 200 meter (m), 400m, 4X400m, 4X100m, 60m, tarik tali, lontar peluru, rejam lembing, lempar cakera dan lompat jauh serta bakal merebut gelaran ‘Olahragawan’ dan ‘Olahragawati’ bagi tahun ini.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS