Galeri Arkeologi Guar Kepah disenarai sebagai tapak warisan

Admin

PENYENARAIAN Galeri Arkeologi Guar Kepah dekat Kepala Batas sebagai tapak warisan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) tentunya disambut baik oleh pelbagai pihak.

Yeoh Soon Hin.

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, YEOH SOON HIN berkata bahawa penetapan tapak Neolitik Pulau Pinang itu adalah selaras dengan usaha serta inisiatif Kerajaan Negeri untuk mengembangkan bidang pemeliharaan dan pemuliharaan warisan.

“Bidang pemeliharaan dan pemuliharaan warisan semakin dititikberatkan di bawah portfolio Ekonomi Kreatif.

“Dengan penambahan tapak warisan ini, kami dapat memajukan sektor warisan Pulau Pinang dan memupuk kesedaran rakyat terhadap aspek berkaitan yang terdapat di negeri ini serta mendorong usaha-usaha daripada pelbagai pihak termasuklah orang awam serta badan-badan kerajaan.

“Justeru, Kerajaan Negeri mempunyai perancangan untuk memastikan konservasi artifak dan memelihara tapak tersebut sebagai satu tapak warisan negeri Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.

Sejarah tapak arkeologi Guar Kepah

Guar Kepah atau nama lainnya ‘Goa Cuppa’ atau ‘Guah Gappah’ ialah sebuah gua batu kapur asphalt yang terletak dekat Kepala Batas dalam Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Pulau Pinang.

Kepah adalah merujuk kepada sejenis siput yang boleh dimakan dan berasal dari laut dengan ketinggian kira-kira 25 kaki dari aras laut.

Rangka ‘Penang Woman’ yang dijumpai di tapak arkeologi Guar Kepah yang dianggarkan berumur lebih 5,000 tahun.

Kerja-kerja ekskavasi sejarah awal dilakukan oleh Van Stein Callenfels pada tahun 1934-1936 dan telah menemui bukti-bukti  kehidupan Orang Asli suku Semang seperti tulang manusia, sisa makanan, serpihan seramik, alatan batu dan sebagainya.

Guar Kepah juga merupakan tapak penggalian pertama oleh pegawai British GW Earl pada tahun 1850, yang membawa kepada penemuan 27 tulang manusia yang kini disimpan di Belanda.

Seawal tahun 1860, tapak perkuburan manusia prasejarah ditemui di atas bukit di Guar Kepah.

Pada tahun 2017, pemeriksaan lanjut oleh pasukan Pusat Penyelidikan Arkeologi USM (PPAG) yang diketuai oleh Prof. Datuk Dr. Mokhtar Saidin menemui tengkorak manusia dan tulang rusuk, semuanya dipercayai dari Zaman Neolitik yang berusia kira-kira 5,000 tahun.

Lantaran penemuan itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah memberi hak milik tanah di tapak arkeologi Guar Kepah seluas 9,671 meter persegi kepada Perbadanan Ketua Menteri (CMI) Pulau Pinang bagi membangunkan Galeri Warisan Arkeologi Guar Kepah.

Kemudian pada Februari 2021, Galeri Arkeologi Guar Kepah bersama-sama Bangunan Wadda Gurdwara Sahib telah disenaraikan sebagai tapak warisan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) yang dilihat akan memberi kesan positif terhadap kajian terbabit.

Mempelbagaikan produk pelancongan

Lay Hock Peng.

Pegawai Penyelaras Khas Kepada Ketua Menteri, LAY HOCK PENG antara yang menyambut baik penyenaraian Galeri Arkeologi Guar Kepah sebagai tapak warisan kerana diyakini dapat mempelbagaikan lagi produk pelancongan di kawasan Seberang Perai Utara (SPU).

Sebagai individu yang bertanggungjawab menyediakan pakej pelancongan lengkap untuk kawasan SPU, beliau berkata bahawa penetapan Galeri Arkeologi Guar Kepah sebagai tapak warisan bakal menjadi nilai tambah kepada pakej tersebut.

“Ini merupakan berita baik terutamanya kepada penduduk tempatan kerana selepas ini Guar Kepah mungkin akan lebih dikenali.

“Walau bagaimanapun, kita harap galeri ini dapat dinaik taraf serta dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan yang diperlukan seperti penyaman udara dan sebagainya selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk mengembangkan pelancongan kreatif di negeri ini.

“Selepas adanya kemudahan lengkap, barulah artifak-artifak penting yang dijumpai di sini seperti rangka ‘Penang Woman’ dapat ditempatkan di sini untuk dipamerkan kepada orang awam serta para pelancong.

“(Dan) tanggungjawab membina galeri arkelogi bukan hanya terletak di bahu Kerajaan Negeri tetapi juga Kerajaan Pusat kerana artifak yang ditemui turut menyumbang kepada perkembangan sejarah ketamadunan manusia di negara ini,” ujarnya.

Mohd. Yusri Mustafa.

Dalam pada itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Guar Kepah, MOHD. YUSRI MUSTAFA berkata bahawa penyenaraian Galeri Arkeologi Guar Kepah sebagai tapak warisan semestinya merupakan berita gembira buat penduduk tempatan.

Menurut beliau, tapak arkeologi Kepah menjadi tarikan baru dan bakal manarik kehadiran lebih ramai pelancong sama ada dari dalam serta luar negara terutamanya mereka yang meminati sejarah.

“Apa yang menarik di tapak arkeologi ini adalah rangka ‘Penang Woman’ yang berusia lebih 5,000 tahun ini hanya dijumpai di sini dan ia tidak ada di tempat lain.

“Oleh itu, kita setuju sangatlah kalau kerajaan dapat mempercepatkan kerja-kerja menaik taraf galeri ini supaya lebih selamat bagi menempatkan artifak-artifak sejarah yang ditemui di sini untuk tatapan para pelancong selain memberikan keselesaan kepada pengunjung.

“Sekiranya rancangan ini dapat direalisasikan kelak, selaku MPKK bagi kawasan ini  saya bersama-sama pemimpin tempatan akan mempergiatkan aktiviti yang dapat merancakkan lagi sektor pelancongan di SPU,” katanya.

Kerja ekskavasi perlu lebih teliti

Mohd. Hafizuddin Abdullah.

Pembantu muzium dari USM, MOHD. HAFIZUDDIN ABDULLAH berharap agar pewartaan tapak arkeologi Guar Kepah sebagai tapak warisan kebangsaan akan dilaksanakan selepas pembinaan galeri siap sepenuhnya.

Ini kerana menurut beliau, apabila tapak arkeologi berkenaan telah diwartakan, maka proses ekskavasi yang hendak dijalankan oleh Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG) USM menjadi agak sukar.

“Sepatutnya, pewartaan tapak arkeologi ini adalah di bawah Akta Warisan (Akta 645), dan perlu dilakukan selepas pembinaan galeri siap sepenuhnya.

“Selepas tapak ini diwartakan sebagai warisan kebangsaan, ia akan menyukarkan proses pembinaan galeri kerana semua kerja yang hendak dilaksanakan perlu memenuhi peraturan-peraturan di bawah akta tersebut.

“Hal ini bukan bermaksud proses ekskavasi yang dijalankan USM sebelum ini adalah dengan cara tidak berhati-hati cuma ia tidaklah sesukar apabila tapak arkeologi ini diwartakan,” ulas Mohd. Hafizuddin.

Sebagai individu yang bertanggungjawab menyelia tapak arkeologi berkenaan, Mohd. Hafizuddin memberitahu bahawa pembinaan Galeri Guar Kepah yang lengkap amat penting sebagai tempat penyimpan ‘Penang Woman’.

“Semua artifak asal yang dijumpai di sini kini disimpan di Pusat Penyelidikan Arkeologi Global USM kerana ia memerlukan cara penyimpanan khas terutamanya daripada segi kawalan suhu.

“Justeru, apabila galeri ini siap kelak, kira-kira 500 spesimen termasuk rangka ‘Penang Woman’ akan disimpan serta dipamerkan di sini,” jelasnya.

Difahamkan, kali terakhir USM bertanggungjawab menjaga tapak arkeologi berkenaan adalah pada tahun 2017 sebelum diserahkan kepada Perbadanan Ketua Menteri (CMI) Pulau Pinang.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS