Galeri Haji Pulau Pinang terima pengiktirafan Malaysia Book of Records

Admin

GEORGE TOWN – Galeri Haji Pulau Pinang yang terletak di Jalan Lebuh Acheh menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai Galeri Haji Pertama dalam negara.

 


Ketua Menteri ‘Caretaker’, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa lokasi yang menempatkan bangunan Galeri Haji Pulau Pinang juga mencatat sejarahnya tersendiri apabila pernah menjadi transit jemaah haji dari Malaysia, Indonesia dan Thailand untuk berlepas ke Tanah Suci Mekah pada pertengahan abad ke-19.

 

“Ekoran kemasyurannya, lokasi itu juga pernah digelar sebagai Jeddah Kedua atau Mekah Kecil (Little Mecca) yang bermaksud pusat segala urusan mengenai ibadah haji, sebelum adanya IMT-GT (Indonesia Malaysia Thailand – Golden Triangle) lagi.

 

 

“Lokasi dan galeri ini menjadi maklumat terpenting bagi masyarakat Islam dalam mengimbas kembali sejarah dan peranannya.

 

 

“Walaupun bersaiz sederhana, tetapi Galeri Haji Pulau Pinang memberi maklumat dengan mempamerkan pengenalan penting bukan sahaja kepada masyarakat bukan Islam malah juga pelancong sambil mengimbas kembali sejarah serta warisan di sini,’’ ujarnya ketika menyaksikan penyampaian sijil MBOR kepada Galeri Haji Pulau Pinang di sini sebentar tadi.

 

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Islam Pulau Pinang (YIPP) Mohd. Fitri Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif MBOR, Christoper Wong.

 

 

Mohd. Fitri dalam pada itu menyatakan bahawa sehingga kini, galeri berkenaan mencatatkan lebih 10,000 pelawat yang terdiri daripada pelancong dari dalam dan luar negara.

 

 

Mengulas lanjut, beliau memberitahu bahawa galeri yang dirasmikan oleh tokoh Islam bertaraf dunia, Mufti Ismail Menk itu juga pernah dikunjungi Duta Amerika Syarikat, wakil Kedutaan Perancis, Singapura dan lain-lain lagi.

 

“Galeri Haji Pulau Pinang pernah menerima Anugerah Cemerlang Warisan 100 Tahun Pulau Pinang daripada Kerajaan Negeri pada 2022, dan penerimaan pengiktirafan daripada MBOR ini adalah bersempena sambutan Hari Warisan Dunia George Town,” ulasnya lanjut.

 

 

Difahamkan, Galeri Haji Pulau Pinang yang terletak berhampiran Masjid Melayu Lebuh Acheh itu kini menempatkan lebih 40 koleksi terpenting seperti buku catatan ke tanah suci, poskad, syiling lama, Tong Sahara, kiswah dan gambar kapal haji yang membawa bakal jemaah ke Tanah Suci.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR

Video : SIEW CHIA EN