Gambar risalah terbitan BN tidak logik

Admin

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Exco Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalulintas menuntut Ketua Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, Teng Chang Yeow bertanggungjawab sepenuhnya ke atas satu risalah terbitan pihaknya berhubung dakwaan kononnya Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) telah merancakkan pembangunan hingga memusnahkan kawasan hijau di sekitar persisir pantai Batu Feringhi baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan Exco terbabit, Chow Kon Yeow, menyatakan bahawa risalah empat muka surat tersebut berniat jahat apabila memaparkan dua imej gambar yang masing-masing ditujukan ketika pemerintahan BN dan PR kini.

“Saya ingin membuat rujukan khusus kepada salah satu muka surat bertajuk, ‘Kami mahu menyelamatkan bukit’ yang memaparkan dua imej dipercayai diambil dari sumber google.

“Versi awal risalah tersebut yang merujuk kepada satu sidang akhbar pada 4 Julai lalu seolah-olah telah dipinda untuk menunjukkan perbandingan tidak logik dan palsu bagi tempoh antara April 2010 dan September 2010.

“Dalam pada itu, bagi versi terkini bertajuk, ‘Bekas Kerajaan Pemerintahan BN’ dan imej kedua, ‘Pemerintahan Kerajaan Terkini PR’, perbandingan menunjukkan gambar berbukit-bukit yang kehijauan ketika era pemerintahan BN dan gambar kedua meperlihatkan pelbagai projek pembangunan yang telah mengurangkan kawasan hijau di lokasi tersebut,” ujarnya di sini baru-baru ini.

Tegas Kon Yeow, semua lima projek yang dilihat dalam imej tersebut adalah projek yang telah diluluskan semenjak pemerintahan BN lagi.

“Daripada lima projek tersebut hanya dua projek diluluskan selepas bulan Mac 2008 kerana melibatkan kelulusan diberikan untuk pindaan berdasarkan kebenaran sebelumnya, contohnya, projek Hilltop Solid Tribute Sdn. Bhd. yang mana ia melibatkan pengurangan daripada 28 unit banglo kepada 22 unit sahaja,’’ jelas beliau.

CHOW Kon Yeow (kanan) dan Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kota, Lau Keng Ee menunjukkan risalah terbitan BN yang tidak logik dengan fakta tidak tepat.
CHOW Kon Yeow (kanan) dan Ahli Dewan Undangan Negeri
Pengkalan Kota, Lau Keng Ee menunjukkan risalah terbitan BN
yang tidak logik dengan fakta tidak tepat.