BAYAN LEPAS – Berdasarkan prestasi semasa yang dicapai pada tahun lepas, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) perlu terus memainkan peranan sebagai ‘game changer’ (pembawa perubahan) dengan menerajui pembangunan sosioekonomi Pulau Pinang yang meliputi aspek pelaburan, perindustrian, pembangunan tanah, rumah mampu milik (RMM) serta tanggungjawab sosial korporat demi memastikan tiada pihak ketinggalan dalam arus kemajuan negeri.
Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian semasa merasmikan Majlis Makan Malam PDC di Pusat Konvensyen SPICE di sini pada 2 Februari 2024.
Menurut Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi itu lagi, pada tahun lepas menyaksikan PDC mencapai prestasi cemerlang iaitu 97.77 peratus yang mana pencapaian itu melebihi 85 peratus yang disasarkan peringkat syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri tersebut.
“Prestasi perbelanjaan pada kadar 86 peratus dengan surplus sebenar sejumlah RM67 juta berbanding surplus bajet sejumlah RM15 juta.
“(Sehubungan itu,) saya berharap seluruh warga kerja PDC dapat terus mengekalkan ikatan kerjasama dan keharmonian dalam organisasi dengan baik.
“Bulatkan tekad serta iltizam untuk terus memperkasakan komitmen demi memacu kecemerlangan PDC sebagai sebuah organisasi yang disegani bukan sahaja di Pulau Pinang, malah seluruh Malaysia,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.
Sebagai rekod, bagi tempoh Januari hingga September 2023, pelaburan pelbagai sektor yang diluluskan masuk ke negeri ini berjumlah RM44.9 bilion.
Dari angka itu, RM34.6 bilion jumlah pelaburan masuk ke sektor pembuatan di negeri ini adalah menyamai peningkatan sebanyak 421 peratus.
Sebanyak RM33 bilion atau 95 peratus dari aliran masuk pelaburan sektor pembuatan negeri merupakan pelaburan langsung asing (FDI).
Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata Pelan Strategik Lima Tahun PDC (2019-2023) yang telah dilaksanakan sebelum ini menyaksikan pencapaian keseluruhan 91.52 peratus serta meliputi 118 projek.
Melangkah ke hadapan, katanya lagi, PDC merangka pelan strategik baharu dari tahun 2024 hingga 2028 iaitu dengan memberi fokus pada teras utama yang dikenali sebagai LABS (Land Innovative, Asset Innovation, Business Sustainability, dan Smart Professional).
Berucap sebelum itu, Ketua Pegawai Eksekutif PDC, Dato’ Aziz Bakar merakamkan penghargaan kepada pentadbiran Kon Yeow serta Lembaga Pengarah GLC negeri tersebut kerana meluluskan pemberian bonus sebanyak tiga setengah bulan gaji kepada kakitangan berkenaan.
Baginya, pemberian bonus tersebut adalah simbol Kerajaan Negeri hari ini sangat menghargai kesungguhan sekalian kakitangan PDC dalam memburu pencapaian serta prestasi seperti disasarkan peringkat organisasi tersebut sebelum ini.
Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Rosli Isa; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Zabidah Safar dan ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik yang juga Ahli Lembaga Pengarah PDC.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI