Ganding bahu musnah denggi – Exco

BATU MAUNG – Seluruh masyarakat perlu berganding bahu dan memainkan peranan aktif dalam usaha-usaha mencegah denggi, seru Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa & Kesihatan, Dr. Afif Bahardin pada Majlis Gotong-Royong Penang Sihat di Taman Seri Indah Batu Maung di sini baru-baru ini.

Serentak itu, Afif turut menggesa supaya masyarakat menangkis tanggapan bahawa usaha pencegahan ia adalah hanya terletak pada Jabatan Kesihatan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) sematamata.

“Sekurang-kurangnya, selaku individu, usaha memeriksa persekitaran kediaman selama 10 minit seminggu sekali adalah perlu untuk menghapuskan tempat pembiakan aedes.

“Selain itu, program COMBI (Communication for Behavioural Impact) perlu ditubuhkan dan bergerak aktif di lokaliti-lokaliti bermasalah,” ujarnya.

Hadir sama, Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin dan Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal
Pengguna merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim.

Dalam pada itu, Tze Tzin memohon supaya Kerajaan Negeri dapat membawa usul penguatkuasaan lebih ketat kepada pembuang sampah di kawasan awam.

Katanya, undang-undang sedia ada dilihat belum cukup untuk menangani tindakan sedemikian dan masyarakat masih ambil mudah mengenai bahaya denggi.

“Secara jujurnya, kita masih boleh lihat orang ramai sewenangwenangnya membuang sampah seperti puntung rokok sesuka hati termasuk dari kenderaan.

“Oleh itu, penguatkuasaan yang lebih ketat adalah penting dalam mendidik mentaliti masyarakat berhubung perkara berkaitan,” tegas beliau.

Sementara itu, dalam kenyataan bertarikh 26 Mei lalu, Afif menyatakan bahawa pada minggu ke-20 (17 hingga 23 Mei 2015), sebanyak 136 kes denggi telah dilaporkan iaitu jumlah yang sama bagi minggu sebelumnya.

“Secara kumulatif, sehingga 20 Mei 2015, sebanyak 2102 kes denggi dilaporkan berbanding 704 kes bagi tempoh yang sama  tahun lalu iaitu peningkatan sebanyak 1,398 kes (198.6 peratus).

“Sebanyak enam kematian akibat demam denggi dilaporkan sehingga kini berbanding tiga kematian demam denggi bagi tempoh yang sama tahun lepas,” jelas beliau.

Langkah pencegahan penularan penyakit denggi:-

i) Melakukan pemeriksaan dalam rumah dan kawasan sekitar masing-masing bagi mengenalpasti dan menghapuskan tempat-tempat pembiakan nyamuk Aedes setiap minggu. Ubat pembunuh jentik-jentik nyamuk boleh diperoleh dari klinik-klinik kesihatan kerajaan.

ii) Menjalankan gotong-royong di kawasan perumahan bagi menghapuskan tempat-tempat berpotensi pembiakan Aedes.

iii) Memberikan kerjasama dengan membenarkan anggota kesihatan menjalankan semburan kabus di dalam rumah.

iv) Mengurangkan risiko gigitan nyamuk dengan menggunakan repellan atau baju/seluar panjang semasa menjalankan aktiviti luar, melakukan semburan aerosol di dalam rumah atau memasang skrin pada tingkap.

v) Mendapatkan rawatan segera di klinik atau hospital apabila mengalami demam dan tanda-tanda penyakit denggi seperti sakit badan/ sendi, muntah, ruam dan kurang selera makan.

document.currentScript.parentNode.insertBefore(s, document.currentScript);