Gandingan kerajaan, swasta penting bina semula ekonomi negeri

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini menyeru pihak swasta supaya tampil berganding bahu bagi memastikan pembangunan semula ekonomi negeri secara menyeluruh.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, dalam memastikan ekonomi Pulau Pinang terus mampu memberikan peluang pekerjaan, kerajaan perlu berganding bahu dengan sektor swasta.

“Kerajaan Negeri tidak mempunyai sumber yang besar, namun kita (Kerajaan Negeri) akan memastikan bahawa pengagihan (sumber) diagihkan kepada golongan yang memerlukan.

“Misalnya, kita mempunyai 15 kumpulan sasar dan Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang (sebanyak RM75 juta yang diumumkan pada 25 Mac) akan memberi manfaat secara langsung kepada lebih 400,000 orang perseorangan tanpa mengira keluarga, pekerjaan dan (kelompok) komuniti.

Saya faham kebimbangan (warga Pulau Pinang) semua, tidak kira apa golongan sekalipun, semuanya memerlukan sokongan kerajaan ketika saat kritikal ini.

“(Dan) saya tahu bahawa bantuan setakat ini mungkin tidak memadai, justeru, kerajaan perlu berganding bahu dengan sektor swasta bukan sahaja memastikan ekonomi terus mampu memberikan peluang pekerjaan tetapi juga memberikan peluang mencari nafkah, membina kerjaya diri dan seterusnya peluang untuk menjaga keluarga masing-masing,” ujarnya pada sidang media yang disiarkan secara langsung di Facebook @ChowKonYeow tengah hari ini.

Menurut Kon Yeow, Kerajaan Negeri menyediakan Pinjaman Sifar Faedah Kelangsungan Perniagaan Pulau Pinang yang mana RM30 juta diperuntukan bagi membolehkan usahawan mikro serta usahawan dari sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) membuat pinjaman ‘pusingan modal’ sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Bukan sahaja tidak dikenakan sebarang riba atau faedah, melalui pinjaman ini, peminjam hanya perlu mula membayar selepas enam bulan mendapatkan wang pinjaman.

“Pejabat saya juga telah menghubungi persatuan-persatuan usahawan Pulau Pinang seperti Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) Cawangan Pulau Pinang dan dewan-dewan perniagaan negeri bagi mendapatkan maklum balas berhubung pendekatan berganding bahu antara Kerajaan Negeri dan sektor swasta.

“(Dan) maklum balas mereka ini saya akan utarakan pada mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara: Pengurusan COVID-19 yang bakal dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri pada 31 Mac 2020, esok,” katanya yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) Pulau Pinang.

Dalam sidang media sama, Kon Yeow mewakili Kerajaan Negeri Pulau Pinang menerima sumbangan berjumlah RM300,000 daripada syarikat swasta untuk disalurkan ke Tabung COVID-19 Pulau Pinang.

Syarikat elektronik terkemuka dari Taiwan, Hotayi Electronic (M) Sdn. Bhd. menderma sebanyak RM200,000, manakala baki RM100,000 lagi melalui Taipei Investors’ Association (terdiri daripada Jawatankuasa Tetap Dewan Perniagaan Taipei Pulau Pinang).

Menyentuh mengenai pengagihan Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang, Kon Yeow memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri telah mempunyai data hampir semua kategori berkaitan dan wang bantuan akan disalurkan pada bulan April 2020 kepada semua penerima layak.

“Kita (Kerajaan Negeri) boleh mengurangkan proses birokrasi, saya juga telah meminta semua jabatan terlibat agar segerakan proses ini bagi mengurangkan bebanan ditanggung rakyat kini.

Kita juga memberikan pengecualian sewa premis perniagaan milik Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan selama satu bulan yang mana penyewa (kebanyakan usahawan kecil) tidak perlu membayar sewa bulan April 2020.

“Saya berharap pemilik premis perniagaan swasta di Pulau Pinang akan turut menghulurkan bantuan sedemikian kepada penyewa masing-masing,” jelasnya yang bakal mengumumkan beberapa inisiatif lanjutan kelak.

Dalam sidang media sama, Kon Yeow sempat menjawab dua soalan secara langsung daripada pengamal media.

Pertamanya, sama ada Kerajaan Negeri akan melarang penjualan di bazar Ramadan tahun ini seperti yang dilaksanakan di Negeri Sembilan dan Melaka, Kon Yeow berkata bahawa keputusan tersebut tertakluk kepada Majlis Keselamatan Negara.

“Walau bagaimanapun, sehingga kini, kedua-dua pihak berkuasa tempatan masih belum mengeluarkan sebarang permit bazar Ramadan,’’ ulasnya.

Keduanya, berhubung kluster jangkitan COVID-19, yang mana, Kon Yeow sebagai respons memaklumkan bahawa kebanyakan kes positif COVID-19 di Pulau Pinang adalah dalam kalangan kluster Sri Petaling.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar & Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI