Gangguan air 48 jam, penduduk diminta simpan bekalan air mencukupi

Admin

SUNGAI DUA – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow sekali lagi menyeru kepada penduduk di negeri ini khususnya kawasan Seberang Perai supaya menyimpan bekalan air yang mencukupi bagi tempoh 48 jam.

Beliau berkata, gangguan bekalan air berjadual itu adalah berpunca daripada pelaksanaan kerja-kerja penggantian injap di Logi Rawatan Air (LRA) Sungai Dua oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) pada 2 hingga 4 Disember ini.

Ketua Menteri ketika mengadakan lawatan ke tapak kerja-kerja pemasangan injap baharu dekat LRA Sungai Dua.

 

“Kerja-kerja pemasangan injap akan dimulakan pada jam 10 malam 2 Disember 2022, dan akan mengambil masa selama 18 jam.

“Manakala proses pemulihan sistem bekalan air pula akan memakan masa selama 12 jam, dan selepas itu bekalan air boleh disambungkan semula ke kawasan-kawasan yang rendah tetapi bagi kawasan-kawasan yang tinggi mungkin perlu menunggu lebih lama.

“Kita jangkakan sekiranya kerja-kerja tersebut berjalan lancar, penduduk di kawasan rendah terutamanya mungkin akan menerima bekalan air dalam tempoh 36 jam.

“Jadi, saya menyeru semua pengguna khususnya di Seberang Perai supaya menyimpan bekalan air yang mencukupi bagi kegunaan dalam tempoh ini,” katanya pada sidang media sempena lawatan ke LRA Sungai Dua di sini sebentar tadi.

Keadaan injap lama yang sudah usang.

Turut hadir, Exco Kebajikan dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh dan Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Ir. K. K. R. N. Pathmanathan.

Kon Yeow berkata, bagi meringankan kesulitan pengguna, PBAPP dan pasukan bomba sukarela akan menggerakkan bantuan bekalan air melalui lori tangki selepas 12 jam gangguan bekalan air berlaku terutamanya di kawasan-kawasan kritikal.

“YB Phee Boon Poh bersama-sama pasukan bomba sukarela, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) akan menghantar tangki-tangki air ini ke kawasan yang mendesak dalam tempoh tersebut.

“Bagi pengguna yang menghadapi sebarang isu berkaitan bekalan air boleh hubungi PBAPP atau mendapatkan bantuan daripada wakil rakyat setempat,” katanya.

 

Dalam pada itu, Pathmanathan memberitahu bahawa sebanyak empat lori tangki akan disediakan oleh PBAPP manakala 32 lori tangki lagi disediakan oleh pasukan bomba sukarela.

“Kita akan bahagikan kepada dua kawasan iaitu kawasan melibatkan pengguna domestik yang akan dikendalikan oleh YB Phee Boon Poh manakala bagi kes kecemasan di hospital melibatkan pusat dialisis boleh hubungi Pusat Panggilan PBAPP.

“Pada masa sama, sekiranya berlaku insiden luar jangka, kami juga menyediakan lori tangki khas dari kawasan pulau,” katanya.

Sementara itu, Boon Poh menyatakan bahawa penduduk di kawasan perumahan kos rendah akan berdepan sedikit masalah memandangkan skim perumahan tersebut tidak mempunyai yang tangki simpanan air.

“Terima kasih kepada MBPP dan MBSP yang telah memberikan maklumat penuh berkenaan Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan dan Perbdanan Pengurusan (MC), malah setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) juga akan berhubung dengan pihak pengurusan rumah pangsa untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

Terdahulu, PBAPP dalam kenyataan berkata bahawa pihaknya akan melaksanakan kerja-kerja penggantian injap 1200 milimeter (mm) dan 1350mm di LRA Sungai Dua yang akan menjejaskan 197,851 akaun air meliputi tiga daerah iaitu Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan.

Menurut PBAPP, daripada jumlah itu, 24,615 akaun air akan mengalami tekanan air rendah, manakala 173,236 akaun akan terputus bekalan air.

Bagi maklumat lanjut berkenaan kawasan-kawasan yang akan terjejas boleh layari laman Facebook PBAPP Penang.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS