Gangguan bekalan air berjadual, penduduk diminta buat persediaan awal

Admin

GEORGE TOWN – Penduduk Seberang Perai khususnya di kawasan-kawasan yang terlibat diminta membuat persediaan awal bagi menghadapi gangguan bekalan air berjadual pada 2 hingga 4 Disember ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa gangguan air berjadual itu berlaku susulan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) perlu menghentikan tugas sebahagian Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua pada tempoh berkenaan.

“Penutupan ini adalah bagi membolehkan PBAPP melakukan kerja-kerja penggantian injap baharu berdiameter 1350 milimiter (mm) dan 1200mm yang telah rosak di loji berkenaan.

“Kerja-kerja penggantian ini sepatutnya dijadualkan lebih awal, tetapi oleh kerana kita berdepan kempen pilihan raya, maka Kerajaan Negeri meminta PBAPP untuk menangguhkannya pada bulan Disember.

“Ekoran itu, gangguan bekalan air akan berlaku selama 48 jam iaitu dari jam 10 pada 2 Disember sehingga 10 malam 4 Disember.

“Keadaan ini menyebabkan ada kawasan tertentu akan mengalami tekanan air rendah, tetapi kebanyakan kawasan akan terputus bekalan air.

“Justeru, saya menyeru kepada semua pengguna di kawasan-kawasan terlibat supaya membuat persiapan untuk menyimpan bekalan air,” katanya kepada pemberita pada sidang media dekat bangunan Dewan Undangan Negeri di sini sebentar tadi.

Walau bagaimanapun, Kon Yeow berkata bahawa PBAPP akan berusaha untuk menyiapkan kerja-kerja penggantian injap baharu lebih awal berbanding yang dijadualkan.

“Gangguan bekalan air hanya melibatkan kawasan Seberang Perai manakala kawasan pulau tidak terjejas.

“Akan tetapi penduduk di beberapa kawasan di Seberang Perai Selatan tidak terjejas kerana menerima air dari Sungai Kerian,” ulasnya lanjut.

Terdahulu, PBAPP dalam kenyataan menyatakan bahawa sebanyak 197,851 akaun air meliputi tiga daerah iaitu Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan terjejas dengan gangguan bekalan air berjadual tersebut

Menurut PBAPP, daripada jumlah itu, 24,615 akaun air akan mengalami tekanan air rendah, manakala 173,236 akaun akan terputus bekalan air.

Untuk maklumat lanjut berkenaan kawasan-kawasan yang akan terjejas boleh layari laman Facebook PBAPP Penang.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : SIEW CHIA EN